
LIMBANG: Semangat kesukanan dan keakraban merentasi sempadan jelas terpancar dalam perlawanan persahabatan antara pasukan bola sepak BT8 FT Limbang dan pasukan Cocktail FC dari Temburong, Brunei, yang berlangsung petang semalam.
Perlawanan yang diadakan di Stadium Apoi, Daerah Temburong, bukan sekadar aksi pemanas badan buat BT8 FT menjelang kejohanan di Limbang, tetapi turut menjadi wadah menjalin persahabatan erat melalui aktiviti sukan.
Pengurus BT8 FT Limbang, Khairul Firdaus, berkata perlawanan di luar daerah itu merupakan satu inisiatif penting untuk menimba pengalaman baharu di samping memperkukuh semangat setiakawan dalam kalangan pemain.
“Ini bukan sekadar perlawanan bola sepak, tetapi peluang untuk kami membina hubungan lebih akrab dengan pasukan dari Brunei melalui semangat kesukanan dan kerjasama dua hala.
“Pengalaman beraksi di negara jiran seperti Brunei diharap memberi nilai tambah kepada pasukan kami, bukan sahaja dari segi permainan tetapi juga dalam membina rangkaian persahabatan serantau,” ujarnya kepada media.
Khairul Firdaus optimis bahawa perlawanan seperti ini mampu menjadi jambatan penyatuan antara komuniti sukan dua negara, dan harus diteruskan pada masa akan datang.
Dalam aksi penuh semangat dan sportiviti itu, pasukan Cocktail FC berjaya menewaskan BT8 FT Limbang dengan keputusan 3-2.
Oleh Adeng Edrus