
MIRI: Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cawangan Miri menganjurkan ceramah kesihatan percuma bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai amalan penuaan sihat menerusi pendekatan berasaskan bukti saintifik.
Program bertajuk ‘Penuaan Sihat: Tulang Kukuh dan Salur Darah Sihat – Perubatan Semula Jadi: Perspektif Saintifik’ itu diadakan di Institut Latihan BSMM Cawangan Miri pada Sabtu lepas.
Ceramah berkenaan dianjurkan oleh bekas Pengarah Hospital Miri, Dr Uma Devi, dan disampaikan oleh Pakar Perubatan Naturopati merangkap Penolong Pengarah Yayasan Kesihatan Dr Rath Asia Tenggara, Saroja Theavy.
Sesi tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan mengekalkan kesihatan tulang, menjaga kesihatan kardiovaskular serta mengamalkan gaya hidup sihat bagi menikmati penuaan yang lebih berkualiti.
Program itu mendapat sambutan daripada profesional kesihatan, sukarelawan serta orang awam yang turut mengambil bahagian dalam sesi perbincangan dan memperoleh pengetahuan mengenai penjagaan kesihatan pencegahan serta pendekatan perubatan semula jadi yang disokong bukti saintifik.
Menurut BSMM Cawangan Miri, pihaknya akan terus komited menganjurkan program pendidikan kesihatan bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat.
Oleh Liong Chai Ling


