SIBU: Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang Sibu mencadangkan supaya peti pertolongan cemas disediakan di setiap medan selera di bawah bidang kuasa Majlis Perbandaran Sibu (MPS).
Pengerusi BSMM Cabang Sibu, Penghulu Chua Hiong Kee berkata, cadangan itu telah dipanjangkan kepada Timbalan Pengerusi MPS, kaunselor Mohammed Abdullah Izkandar Roseley.
“Apabila peti pertolongan cemas disediakan di semua tempat ini, BSMM kemudiannya boleh menyediakan latihan bantuan asas kecemasan percuma kepada pengusaha makanan untuk melengkapkan mereka sepenuhnya dengan kemahiran tersebut.
“Dalam pertolongan cemas, setiap minit adalah penting, kami tidak boleh menunggu sehingga ambulandatang. Seseorang perlu menggunakan apa yang kita panggil ilmu pertolongan cemas untuk menjamin kehidupan mereka yang jatuh sakit secara tiba-tiba, ini sangat penting.
“Kita berharap pihak majlis dapat mengutarakan perkara ini. Sekurang-kurangnya kita ada peti pertolongan cemas supaya semasa kecemasan mereka boleh menggunakan kemudahan ini, itu cadangan saya.
“Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada orang ramai memandangkan lokasi tertentu agak jauh dari hospital dan kemudahan perubatan,” jelasnya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Jualan Bendera Tahunan BSMM Cabang Sibu di Taman Selera Muhibbah, malam tadi.
Mengulas tentang Jualan Bendera Tahunan BSMM Cabang Sibu, beliau memberitahu, pihaknya menyasarkan untuk mengumpul sejumlah RM30,000 menerusi jualan bendera tersebut tahun ini.
“Kutipan derma tahun ini, kami tidak melibatkan pelajar sementara Covid-19 masih ada. Sebaliknya, ahli jawatankuasa kami dan ahli dewasa mengambil bahagian dalam kutipan derma.
“Oleh itu, kami tidak menyasarkan jumlah yang tinggi, kami hanya meletakkan sasaran sekitar RM30,000 sahaja pada tahun ini. Ini sangat rendah sebenarnya, dahulu sasarannya RM100,000 ke atas. Saya harap kita boleh mencapainya dalam masa dua minggu.
“Saya tahu orang Sibu sangat bermurah hati, kita boleh lihat banyak NGO di sini mengumpul sedikit dana dan mendapat sokongan penuh daripada penduduk setempat. Sebab itu kami amat menghargai mereka.
“Semoga mereka lebih tahu tentang BSMM dan mereka mesti tahu kami NGO kami tidak menerima geran daripada kerajaan,” ujarnya lagi.
Oleh AKUN GIMAN