SIBU: Generasi muda perlu diperkasa dengan kekuatan mental, kemahiran pertolongan cemas dan nilai kemanusiaan bagi membolehkan mereka bertindak lebih berkesan ketika berdepan situasi kecemasan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kemahiran dan nilai berkenaan bukan sahaja penting dalam khidmat kemanusiaan, malah membantu membentuk golongan muda yang yakin, berdisiplin, bertanggungjawab dan berdaya tahan.
Katanya, latihan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) seperti CPR, pertolongan cemas dan teknik asas menyelamat mampu menjadi bekalan penting kepada ahli muda ketika berdepan kecemasan sebelum bantuan profesional tiba.
“Teknologi mungkin mengubah cara kita berkomunikasi, tetapi ia tidak sepatutnya mengubah cara kita mengambil berat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee ketika merasmikan Konvensyen BSMM Peringkat Negeri Sarawak 2026 di salah sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Dr Sim berkata, penglibatan dalam BSMM turut membantu golongan muda membina kemahiran kepimpinan melalui aktiviti sukarelawan, kerja berpasukan serta tanggungjawab terhadap komuniti.
Katanya, pendidikan juga tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pencapaian akademik, sebaliknya perlu membentuk individu yang mempunyai nilai prihatin, sanggup membantu dan menghormati orang lain.
Dr Sim turut menggalakkan BSMM Cawangan Sarawak memperkukuh program belia dengan menyediakan lebih banyak peluang dalam bidang pertolongan cemas, kesedaran kesihatan, kesiapsiagaan bencana dan projek kemanusiaan.
Beliau berkata, golongan muda juga perlu diberi ruang untuk memimpin aktiviti, membuat keputusan dan belajar daripada pengalaman kerana pemimpin masa depan perlu diberikan peluang untuk memimpin sejak hari ini.
Beliau berharap ahli muda BSMM terus mengembangkan pengetahuan, membina keyakinan diri dan mengamalkan nilai kemanusiaan dalam kehidupan seharian demi membantu membentuk masyarakat Sarawak yang lebih prihatin dan saling menjaga.
Terdahulu Pengerusi BSMM Cabang Sibu, Penghulu Chua Hiong Kee dalam ucapan aluannya berkata, kira-kira 200 kadet muda BSMM dari seluruh Sarawak dihimpunkan menerusi konvensyen tersebut bagi memperkukuh kemahiran, kepimpinan dan kesiapsiagaan kemanusiaan.
“Konvensyen ini bukan sekadar perhimpunan, sebaliknya menjadi platform untuk golongan muda bertukar pengalaman, membina persahabatan serta memahami erti sebenar khidmat kemanusiaan,” ujarnya.
Katanya, khidmat kemanusiaan memerlukan minda yang kukuh, pertimbangan baik, disiplin, kerja berpasukan dan keupayaan kekal tenang ketika berdepan situasi sukar.
Beliau menggalakkan para kadet memanfaatkan konvensyen untuk memperkukuh keyakinan, kepimpinan dan nilai kemanusiaan.
Oleh Akun Giman




