
BETONG: Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong terus mempergiat usaha mendekati masyarakat menerusi penganjuran Program Bertemu dan Bersalaman bersama komuniti bagi memberi pendedahan berkaitan pencegahan penipuan dalam talian, yang diadakan di deretan kedai Jalan Sie Kwang Ngak, di sini, petang semalam.
Menurut kenyataan media IPD Betong, program yang berlangsung dari 3.00 hingga 4.30 petang itu diketuai oleh Inspektor Ahmad Fahmi Khufadli bersama Sarjan Aurther Situk dan Sarjan Norfariza Mohamed Usup, dengan penglibatan aktif anggota BSJKD dalam menyampaikan maklumat berkaitan jenayah komersil.
Seramai 25 orang awam hadir menyertai sesi penerangan yang diadakan dalam suasana santai dan interaktif, sekali gus membuka ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi secara langsung dengan pihak polis berhubung isu penipuan kewangan yang semakin membimbangkan.

Sepanjang program tersebut, pihak BSJKD memberi penerangan mengenai trend terkini jenayah komersil termasuk taktik terbaharu yang digunakan sindiket penipuan dalam talian untuk memperdaya mangsa, seperti penyamaran sebagai pegawai agensi penguat kuasa, tawaran pelaburan tidak wujud dan penipuan pembelian dalam talian.
Turut diperkenalkan kepada orang ramai ialah peranan National Scam Response Centre (NSRC) melalui talian 997 sebagai saluran segera untuk melaporkan kes penipuan kewangan, sekali gus membolehkan tindakan pantas diambil bagi mengesan dan menyekat aliran wang yang dipindahkan kepada pihak tidak bertanggungjawab.
Selain itu, peserta turut diberi pendedahan mengenai penggunaan aplikasi Whoscall bagi mengenal pasti nombor telefon yang meragukan, di samping promosi Kod QR E-Book Jenayah Komersil sebagai bahan rujukan berguna untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai modus operandi penipuan.

Isu ‘keldai akaun’ turut ditekankan dalam sesi tersebut kerana kesalahan berkenaan boleh berlaku kepada mana-mana individu tanpa disedari, khususnya apabila meminjamkan akaun bank kepada pihak lain sehingga terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
Program ini turut mempromosikan platform semakan seperti Portal Semak Mule/CCID Check serta laman Facebook rasmi CyberAlertRMP dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil sebagai sumber maklumat sahih berkaitan jenayah komersil.
Secara keseluruhannya, program berkenaan mendapat sambutan amat baik daripada masyarakat setempat yang memberikan maklum balas positif serta menyatakan hasrat untuk berkongsi maklumat E-Book JSJK bersama keluarga dan rakan-rakan bagi meningkatkan tahap kesedaran komuniti.
Program berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini dan diharap inisiatif seumpama ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi memperkukuh hubungan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat dalam usaha membanteras jenayah komersil di daerah Betong serta di peringkat nasional.
Oleh Adi Safarman