
SIBURAN: Lebih 200 orang menghadiri Majlis Sambutan Pra-Gawai Dayak 2025 anjuran Bung Sentah Heritage Association (BSHA) di Dewan Manggeng, Siburan yang menyaksikan penyertaan 13 kampung Bidayuh Biatah dari kawasan Siburan dan Padawan semalam.
Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil menekankan kepentingan usaha memelihara adat dan budaya Bidayuh Biatah melalui kerjasama erat antara BSHA dan Jawatankuasa Kemajuan dan Kebudayaan Siburan Asal (JKKSA).
Beliau menyifatkan perpaduan dan identiti budaya sebagai asas penting dalam membina masyarakat yang kukuh dan progresif.
Sebagai sokongan kepada inisiatif ini, beliau mengumumkan kelulusan RM50,000 Dana Projek Khas (MRP) kepada BSHA bagi melaksanakan program kebudayaan, pemeliharaan warisan dan pembangunan komuniti.
Malah, beliau turut mencadangkan agar BSHA dan JKKSA menjalinkan kerjasama rasmi demi kesinambungan usaha pemerkasaan budaya Bidayuh Biatah.
Beliau turut mengusulkan penubuhan Pusat Kebudayaan Bidayuh Biatah di Siburan sebagai pusat rujukan dan aktiviti budaya untuk generasi muda serta pelawat luar.
Majlis diserikan dengan persembahan kebudayaan, tarian tradisional dan penyampaian simbolik geran kepada BSHA.
Acara ini bukan sahaja meraikan sambutan Gawai malah memperkukuhkan semangat kekitaan, menyemai kesedaran budaya dan menjadi titik permulaan kepada gerakan kolektif memperjuangkan warisan Bidayuh Biatah dalam arus pembangunan semasa.
-UKAS