
BANDAR SERI BEGAWAN: Delegasi Jawatankuasa Induk Regata Lingga Edisi ke-3 2025 telah mengadakan kunjungan hormat kepada Persatuan Lumba Perahu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (PERKIBAR) bagi menyampaikan jemputan rasmi untuk menyertai acara tersebut.
Kunjungan ini yang diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, semalam.
Beliau berkata tujuan utama lawatan ini adalah untuk memperkukuh kerjasama sedia ada, berikutan penyertaan cemerlang PERKIBAR dalam Regata Lingga 2023.
“Kehadiran pasukan dari Brunei Darussalam pada edisi lalu dilihat sebagai ‘batu loncatan’ yang penting dalam usaha meningkatkan reputasi Regata Lingga di peringkat antarabangsa,” katanya.
Semasa pertemuan, Timbalan Pengerusi Induk Regata Lingga, Hamizan Yahya telah membentangkan maklumat terkini mengenai penganjuran acara yang bakal berlangsung dari 28 hingga 30 November nanti di Tebingan Sungai Lingga.
“Penganjuran Regatta Lingga adalah amat penting sebagai platform untuk menarik pelancong antarabangsa dan tempatan, di samping mempromosikan warisan sukan air yang ikonik di Sarawak.
“Acara ini juga berperanan sebagai tarikan pelancongan utama yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan di Daerah Lingga,” jelasnya.
Melalui penyertaan pasukan antarabangsa, termasuk dari Brunei Darussalam, Dayang Noorazah berkata Regata Lingga terus diperkasa sebagai acara yang bukan sahaja memperkukuh diplomasi budaya dan sukan, tetapi juga membuka peluang besar kepada usahawan tempatan dan sektor perkhidmatan pelancongan untuk berkembang maju.
PERKIBAR, yang diwakili oleh Yang Dipertua, Haris Ibrahim, menyambut baik jemputan tersebut dan menyatakan sokongan penuh. PERKIBAR akan memberikan maklum balas rasmi mengenai penyertaan mereka dalam masa terdekat.
Oleh Adi Safarman