KUCHING: Negara Brunei Darussalam memberi maklum balas positif berhubung keputusan Sarawak untuk membina Projek Lebuh Raya Pesisir Utara di Bahagian Limbang yang akan melalui kedua-dua negara itu.
Ia antara hasil mesyuarat rombongan dari Sarawak dalam pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei Darussalam, Datuk Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof di Bandar Seri Begawan baru-baru ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mengetuai rombongan negeri ini berkata Sarawak akan terus memberi perhatian sepenuhnya bagi meneruskan pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo di utara negeri ini dengan kerjasama Brunei.
“Itu adalah antara perbincangan kami di Brunei baru-baru ini. Kami perlu memberi taklimat kepada Brunei bahawa projek yang menghubungkan ke jalan pesisir itu akan diteruskan.
“Kita akan bekerjasama dengan mereka untuk meneruskan projek tersebut seperti perjanjian awal pada 2018 dahulu, apabila projek dibatalkan di bawah kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasil lawatannya ke Brunei baru-baru ini ketika sidang media sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Negeri Sarawak di Wisma Sumber Alam, di sini, hari ini.
Awang Tengah berkata, Brunei diberi taklimat mengenai kesalinghubungan jalan raya secara keseluruhan di utara negeri ini yang merangkumi jalan penghubung di negeri ini dan jalan ke sempadan Kalimantan, Indonesia.
“Dengan cadangan projek Lebuhraya Pantai Utara yang akan dilaksanakan, bagaimana ia akan berintegrasi antara satu sama lain,” katanya.
Beliau sekali lagi menekankan bahawa kerajaan Sarawak bersedia untuk membantu menyediakan bekalan kuasa elektrik boleh diperbaharui ke Brunei sekiranya diperlukan.
Menurutnya, ia bagi memenuhi komitmen yang tertera dalam Perjanjian Paris yang mewajibkan setiap negara menggunakan sekurang-kurangnya 10 peratus tenaga diperbaharui menjelang 2025.
“Justeru, sekiranya Brunei memerlukan bantuan, kita bersedia menyediakan keperluan mereka. Jika tidak perlu, tidak apa,” katanya.
Awang Tengah berkata turut dibincangkan dalam lawatan itu ialah cadangan membina lapangan terbang dan pelabuhan dalam di Lawas.
Sementara itu, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata Projek Lebuhraya Pesisir Utara di Bahagian Limbang adalah antara perkara yang dibincangkan antara Sarawak dan Brunei pada kunjungan ke negara itu baru-baru ini dan menerima maklum balas positif.
Oleh SHAHRUL QAIZAT