KUCHING: Bazar Ramadan Atas Talian Sarawakku Sayang 2020 (BROSS 2020) telah dilancarkan secara rasminya bermula hari pertama bulan Ramadan semalam adalah sebagai platform jualan untuk peniaga dan penjaja di negeri ini.
Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) Datuk Mohd Naroden Majais berkata, BROSS 2020 dilancarkan atas kerjasama bahagian pembangunan usahawan MINTRED dengan kerjasama Pentadbir Kumpulan Facebook Bazar Ramadan di Sarawak.
“Program ini dilaksanakan bagi membantu peniaga dan penjaja Bazar Ramadan untuk mempromosi dan memasarkan produk makanan dan minuman mereka semasa bulan Ramadan.
“Selain itu, ia juga membuka peluang pekerjaan kepada belia untuk menjadi ‘runner’ atau ‘rider’ bagi penghantaran pesanan makanan yang dibuat secara atas talian,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Naroden, mereka ini bagaimanapun perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Tambahnya, pelaksanaan BROSS ini mempunyai objektifnya sendiri khususnya dalam meningkatkan ekonomi rakyat.
Antara objektifnya ialah, membantu usahawan dan peniaga makanan dan minuman terutamanya peniaga kecil-kecilan untuk mempromosi, memasar dan menjual produk dengan efisien dan selamat semasa bulan Ramadan secara atas talian.
Selain itu, katanya, kewujudan BROSS ini juga dilihat membantu memudahkan orang awam untuk mendapatkan produk makanan dan minuman semasa bulan Ramadan dengan lebih mudah, cepat dan selamat dan secara tidak langsung mengurangkan pergerakan orang awam keluar dari rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Platform jualan ini turut menyediakan SOP dan Garis Panduan Keselamatan Makanan Bagi Produk Makanan Yang Dijual Secara Atas Talian yang dikeluarkan oleh PBT dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang perlu dipatuhi oleh pengusaha, peniaga dan penghantar makanan,” ujarnya.
SOP dan garis panduan tersebut, katanya bertujuan memastikan kebersihan dan keselamatan makanan yang disediakan oleh usahawan dan peniaga yang dihantar oleh penghantar selamat diterima dan dimakan oleh pelanggan khususnya ketika situasi penularan wabak Covid-19 ini.
Dalam masa sama, ia juga dapat meningkatkan kesedaran dan sikap tanggungjawab para usahawan dan peniaga serta masyarakat berkaitan pengendalian makanan dan keselamatan dalam mengurangkan penularan wabak COVID-19, kata Naroden.
“Peniaga dan usahawan juga digalakkan untuk mendaftar dalam aplikasi HELPY yang merupakan salah satu platform e-dagang bagi memasarkan dan menghantar produk-produk dan juga perkhidmatan mereka.
“Aplikasi HELPY ini juga dilihat membantu melancarkan lagi operasi penghantaran produk daripada usahawan dan peniaga BROSS semasa tempoh PKP,” katanya.
Beliau memberitahu, pelaksanaan program BROSS dan penglibatan HELPY akan meningkatkan lagi penyertaan dan penglibatan usahawan, peniaga dan masyarakat dalam penggunaan platform e-dagang dalam era ekonomi digital masakini.
Pada masa sama, MINTRED turut membuat survei tentang penglibatan usahawan/peniaga dalam Bazar Ramadan di setiap bahagian menggunakan pautan seperti berikut https://forms.gle/kVEKePGviyFQHXN69 dan memohon usahawan-usahawan dan eniaga mengisi survei tersebut.