
NEW YORK: Penyanyi Amerika Syarikat, Britney Spears, menjadi artis terbaharu yang menjual hak katalog muziknya, termasuk lagu-lagu popular seperti Baby One More Time dan Oops!…I Did It Again, lapor media AS semalam.
Urus niaga tersebut dipercayai bernilai sekitar AS$200 juta, menurut sumber yang dipetik oleh laman selebriti TMZ, namun jumlah sebenar tidak diperincikan dalam dokumen undang-undang.
Nilai itu setara dengan penjualan katalog muzik penyanyi Kanada, Justin Bieber, pada 2023.
Spears, 44, menyertai senarai artis yang semakin bertambah yang telah menjual hak muzik mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk Bruce Springsteen dan Bob Dylan, serta Shakira dan kumpulan rock KISS.
Media AS melaporkan bahawa hak tersebut dibeli oleh penerbit muzik Primary Wave, yang portfolio karyanya merangkumi hasil ciptaan artis terkenal seperti Whitney Houston, Bob Marley, Prince dan lain-lain.
Pemilik hak penerbitan sesebuah lagu akan menerima bayaran bagi setiap siaran, jualan album atau penggunaan dalam pengiklanan serta filem.
Pasaran hak muzik yang semakin berkembang membolehkan artis menjana pendapatan daripada katalog mereka, yang dianggap sebagai aset jangka panjang yang menarik kepada pelabur dalam era penstriman.
Label muzik utama seperti Sony, Universal dan Warner turut mengembangkan perniagaan dalam bidang ini, di samping pelabur khusus seperti Recognition Music Group dan Concord Music Publishing.
Spears mula menempa kemasyhuran pada akhir 1990-an, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebahagian besarnya menjauhkan diri daripada dunia muzik.
Pada 2021, sebuah mahkamah AS menamatkan perintah konservatori selama 13 tahun yang membenarkan bapa Spears mengawal kewangannya, satu pengaturan yang disifatkan oleh penyanyi itu sebagai bersifat menindas. – AFP