Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • British dalam penentuan status Sarawak
  • KOLUMNIS

British dalam penentuan status Sarawak

Utusan Sarawak 3 days ago
  • Bahagian Pertama

KEDATANGAN James Brooke ke Sarawak membawa lembaran baharu dalam sejarah Sarawak. Ini kerana Raja James Brooke telah membentuk sebuah geopolitik baharu di Pulau Borneo.

Walaupun ada sokongan penduduk tempatan terhadapnya untuk memerintah Sarawak, beliau masih lagi gusar kerana kedudukannya masih tidak selamat.

James Brooke juga tidak mempunyai tentera yang dapat mempertahankan kerajaannya.

Beliau juga mentadbir sebuah kawasan yang mempunyai pelbagai rupa kaum dan budaya serta kepercayaan dan agama. 

Dalam hal ini beliau gerun dengan keberadaan pembesar tempatan di Sungai Batang Lupar, Skrang, Saribas dan Kalaka yang dibimbangi akan mengancam kedudukannya di Sarawak.

Keadaan politik sekitar Sarawak juga penuh mencabar dengan pengaruh kuasa besar Barat berlumba-lumba untuk menambah tanah jajahan mereka seperti Belanda di Kepulauan Melayu dan Sepanyol di pulau-pulau Filipina. 

Perancis pula di sebelah Indo-China. Hanya harapan Raja James Brooke ini pada kehadiran British di Tanah Melayu dan Myanmar (Burma) untuk menguatkan kedudukannya.  

Pemintaan

Atas sebab itu pada 1841, Raja James Brooke telah memohon agar kerajaan British memberi naungan atau menjadikan Sarawak sebagai koloni British. 

Tambahan daripada itu, beliau meminta agar British membina stesen tentera lautnya di Sarawak. Usaha bersungguh-sungguh Raja James Brooke ini membolehkannya mendapat kepercayaan dari kerajaan British.

JAMES Brooke.

Pada 1844, beliau dilantik oleh kerajaan British sebagai ejen diplomatik untuk berurusan dengan Kesultanan Brunei dalam mengendalikan usaha membenteras apa yang mereka panggil sebagai ‘lanun’.

Fungsi ejen ini juga adalah untuk melindungi kepentingan perdagangan British di Borneo.

Seterusnya beliau dianugerahkan kesatria oleh Raja England. Peranan beliau semakin menyerlah dalam menguatkan kekuasaan British di Borneo apabila dilantik sebagai gabenor pertama Labuan. Seterusnya menjadi konsul British dalam menjalin hubungan dengan Brunei.

Penentangan

Hubungan baik Raja James Brooke dengan kerajaan British terganggu apabila terdapat aduan mengenai tindakan beliau di Sarawak. 

Bekas ejen Sarawak iaitu Henry Wise yang kecewa dengan tindak tanduk Raja James Brooke menghalang usahanya melakukan eksplotasi sumber mineral di Sarawak mula menyebarkan berita tentang tindakan kejam Raja James Brooke menghapuskan apa yang dianggapkan sebagai ‘lanun’.

Dua ahli politik dan ahli parlimen British yang lantang menentang, menggunakan ketenteraan dalam dasar perdagangan bebas melihat tindak-tanduk Raja James Brooke sebagai sesuatu yang tidak patut dilakukan. 

Kedua-dua mereka ini adalah Ahli Parlimen Montrose iaitu Joseph Hume dan Ahli Parlimen Stockport iaitu Richard Cobden.

Pertubuhan bukan kerajaan seperti the Aborigines Protection Society dan the Peace Society juga tampil untuk membantah tindakan Raja James Brooke dan meminta agar ditubuh satu siasatan awam dalam kes ini.

Bantahan dan kritikan ini membawa kepada kesan mendalam kepada Raja James Brooke. Beliau kemudiannya meletak jawatan sebagai gabenor Labuan.

Tentera Laut British mengambil tindakan berhati-hati dalam menangani masalah yang dianggap ‘lanun’ di Sarawak.

Arahan juga dikeluarkan pada 1844 agar tentera laut British tidak sewenang-wenangnya menyerang kapal lanun selagi mereka tidak bertindak menyerang kapal perang British. 

Satu arahan tetap juga telah dikeluarkan untuk menghalang tindakan pihak tentera laut dan juga pegawai awam untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal politik di Kepulauan Melayu.

Sokongan

Walaupun British seolah-olah menjauhi Raja James Brooke, kerajaaan British masih mempunyai hasrat menjaga kepentingannya di Borneo.

Hal ini menyebabkan British menyokong Raja James Brooke apabila ada kuasa asing lain cuba mencabar kedudukan raja tersebut.

Setiausaha Luar British iaitu George Hamilton-Jordon mempertahakan kerajaan Brooke di Sarawak apabila kerajaan Belanda membantah penempatan Brooke di Sarawak kerana melanggar Perjanjian Anglo-Belanda pada 1824.

Penganti George Hamilton-Jordon pada 1846 iaitu Viscount Palmerston memuji Raja James Brooke telah melakukan kerja-kerja ‘mentamadunkan’ penduduk Sarawak. 

Malah beliau memberi jaminan untuk membantu Raja James Brooke bagi membenteras ‘lanun’. Pada era beliau juga kerajaan British mengiktiraf bendera negeri Sarawak.

Kedudukan

Walaupun terdapat usaha memberi sokongan kepada kerajaan Brooke, dasar British terhadap Sarawak terutamanya status negeri ini masih kabur. 

Ini kerana pihak British seolah-olah menyatakan Sarawak sebagai sebuah negara yang bebas apabila tidak membantah Amerika Syarikat menjalinkan hubungan dengan Sarawak.

Raja James Brooke mendakwa bahawa ia memerintah di sebuah negara yang bebas. Kenyataan daripada Setiausaha Luar British, Lord Clarendon memaparkan bagaimana British keliru dengan status sebenarnya Sarawak. 

Dalam hal ini beliau menyatakan bahawa kerajaan British sedaya upaya menahan untuk mengiktirafkan kemerdekaan Sarawak tetapi dalam satu hal pula mengakui kedudukan Sarawak yang istimewa.

Usaha menyokong untuk British mengiktiraf kemerdekaan Sarawak ini jelas diutarakan oleh Consul St John apabila beliau mahukan pelantikan seorang konsul British di Sarawak. 

Bagi Raja James Brooke pula beliau menyatakan sebelum ini bahawa konsul tersebut mesti mendapat exequatur (kelulusan rasmi) daripadanya untuk bertindak dalam wilayah Sarawak.

Perbezaan

Sehubungan dengan itu Perdana Menteri Britian iaitu Viscount Palmerston tidak sependapat dengan Lord Clarendon tentang status Sarawak. 

Beliau percaya bahawa kerajaan British tidak mempunyai alasan kukuh untuk tidak mengiktiraf Sarawak sebagai sebuah kerajaan bebas. 

Pada 1858, Raja James Brooke bertemu dengan Viscount Palmerston untuk menawar Sarawak sebagai koloni. 

Beliau meyakinkan kerajaan British dengan wujudnya arang batu di Sarawak yang boleh membantu pergerakan kapal pihak British. Beliau juga menyatakan bahawa kemungkinan Belanda akan melakukan pencerobohan di Sarawak. 

Alasan-alasan beliau ini meyakinkan kerajaan British untuk menentukan kedudukan Sarawak. Tetapi kerajaan British tidak menunjukkan minat untuk menjadikan Sarawak sebagai sebuah koloni baharu. 

Oleh itu Raja James Brooke meminta Sarawak mendapat taraf naungan British. Keadaan ini menyebabkan Sarawak meneruskan usaha untuk mendapat pengiktirafan dari kerajaan British. 

Perkembangan selanjutnya akan dibicarakan dalam keluaran akan datang.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Piawaian ketat penyelenggaraan sebelum pesawat dibenar terbang
Next: Pembiayaan politik di Malaysia: Keperluan dan cabaran

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.