
KUCHING: Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak mencatat kejayaan besar apabila berjaya melaksanakan tujuh operasi antara 27 Oktober hingga semalam, di bawah Op Taring Alpha, Op Taring Bravo dan Op Taring Batas/Awas, dengan keseluruhan rampasan bernilai kira-kira RM3.7 juta.
Komander Briged PGA Sarawak, SAC Lim Bak Phai, berkata operasi tersebut menumpukan kepada aktiviti penyeludupan serta penjualan barangan tidak bercukai di kawasan Kuching, Bau, Sibu dan Sri Aman.

Menurut beliau, pasukan berjaya merampas sejumlah besar rokok, minuman keras, tong gas, makanan sejuk beku dan beras yang tidak bercukai, selain beberapa buah kenderaan yang digunakan bagi tujuan pengangkutan barangan seludup tersebut.
Antara rampasan utama ialah lebih 3,000 karton rokok, 10,000 liter minuman keras, serta pelbagai produk sejuk beku yang diperoleh hasil serbuan terancang di 18 lokasi di seluruh negeri.

“Semua suspek bersama barangan rampasan telah diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut di bawah undang-undang sedia ada termasuk Akta Kastam 1967 dan ordinan berkaitan,” jelasnya
Beliau turut memaklumkan bahawa dari 1 Januari hingga 11 November tahun ini, Briged PGA Sarawak telah mencatat jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM385.6 juta melibatkan 535 kes, dengan 643 tangkapan termasuk warga tempatan dan asing, serta 327 kenderaan yang turut dirampas.
SAC Lim menegaskan bahawa kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan PGA Sarawak dalam membanteras kegiatan penyeludupan dan melindungi kepentingan negara.
Oleh Connie Chieng