Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Breakfast Playdate bersama Lala Kidzoona galak perkembangan dan interaksi sosial kanak-kanak
  • Utara
  • WILAYAH

Breakfast Playdate bersama Lala Kidzoona galak perkembangan dan interaksi sosial kanak-kanak

Utusan Sarawak 2 hours ago
RAKAMAN gambar kenangan bersama ibu bapa pada program Breakfast Playdate bersama Lala Kidzoona anjuran Messy Kiddos di Tanjung Batu Bintulu, hari ini.

BINTULU: Suasana Pantai Tanjung Batu pagi tadi dimeriahkan dengan kehadiran kanak-kanak bersama ibu bapa masing-masing yang menyertai program Breakfast Playdate anjuran Messy Kiddos Sarawak dengan kerjasama Kidzoona.

Program yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 10.30 pagi itu menawarkan pelbagai aktiviti sensori interaktif yang direka khas untuk kanak-kanak berusia lapan bulan hingga enam tahun.

Antara tarikan utama ialah 10 stesen permainan sensori yang membolehkan kanak-kanak meneroka pelbagai aktiviti pembelajaran melalui sentuhan, kreativiti dan imaginasi dalam suasana santai serta menyeronokkan.

Selain itu, peserta turut berpeluang bertemu maskot popular Lala menerusi sesi ramah mesra, menerima belon percuma serta menikmati aktiviti lukisan wajah yang mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan kanak-kanak.

Program yang turut bersempena sambutan Hari Bapa itu memberi peluang kepada para bapa meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak menerusi pelbagai aktiviti yang disediakan, sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Penganjur program, Norathirah, berkata program berkenaan yang diperkenalkan sejak Disember tahun lalu menerima sambutan amat menggalakkan daripada ibu bapa di seluruh Sarawak.

Katanya, susulan sambutan positif itu, pihaknya kini mengadakan siri jelajah dari Miri hingga Kuching bagi memberi peluang kepada lebih ramai kanak-kanak menyertai aktiviti tersebut.

“Setakat ini sambutan yang diterima sangat baik daripada ibu bapa. Sebab itu kami mengadakan jelajah ke beberapa bahagian di Sarawak berdasarkan permintaan dan sambutan yang diterima.

“Bulan depan kami juga akan ke Miri untuk menganjurkan program yang sama,” katanya ketika ditemui pada program tersebut, hari ini.

Menurutnya, objektif utama penganjuran program itu adalah untuk menggalakkan kanak-kanak bersosial dan melibatkan diri dalam aktiviti luar yang bermanfaat berbanding hanya menghabiskan masa di rumah.

“Kami mahu kanak-kanak berinteraksi dengan rakan-rakan lain, belajar berkongsi dan membina keyakinan diri melalui aktiviti bermain. Ia sangat baik untuk perkembangan sosial, emosi dan motor mereka.

“Pada masa kini ramai kanak-kanak lebih banyak menghabiskan masa di rumah. Jadi melalui program seperti ini, mereka dapat meneroka persekitaran baharu dan bergaul dengan rakan-rakan sebaya,” katanya.

Norathirah berkata pihaknya turut mengalu-alukan penyertaan kanak-kanak berkeperluan khas dalam setiap program yang dianjurkan.

“Kami sentiasa terbuka kepada penyertaan kanak-kanak berkeperluan khas. Cuma kami menggalakkan ibu bapa atau penjaga supaya sentiasa mengawasi anak masing-masing kerana mereka lebih memahami keperluan dan tingkah laku anak-anak,” ujarnya.

Sementara itu, seorang peserta, Norfarahin, 32, berkata program seperti itu amat diperlukan di Bintulu memandangkan pilihan aktiviti untuk kanak-kanak di kawasan tersebut masih terhad.

“Program seperti ini sangat baik dan perlu diteruskan. Di Bintulu tidak banyak aktiviti yang memberi peluang kepada kanak-kanak untuk bermain sambil belajar dalam suasana yang menyeronokkan.

“Saya berharap lebih banyak program seperti ini dapat dianjurkan pada masa akan datang kerana ia memberi manfaat kepada kanak-kanak dan ibu bapa,” katanya.

Seorang lagi peserta, Tijah Lana, 42, turut menyifatkan aktiviti berkenaan sebagai sesuatu yang jarang diadakan di Bintulu.

“Kalau ada pun, kebanyakannya dianjurkan di sekolah. Jadi apabila ada program seperti ini yang terbuka kepada orang awam, ia sememangnya satu peluang yang baik untuk ibu bapa membawa anak-anak menyertai aktiviti yang bermanfaat.

“Saya berharap lebih ramai masyarakat mengetahui mengenai program seperti ini dan penganjur dapat meneruskannya pada masa akan datang kerana sambutannya memang menggalakkan,” katanya.

Rata-rata peserta berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi menyediakan lebih banyak ruang pembelajaran, interaksi sosial dan aktiviti rekreasi yang bermanfaat untuk kanak-kanak di Bintulu.

Oleh Faizah Muzidi

Continue Reading

Previous: Lebih 2,500 sertai Larian Menyelamatkan Nyawa 6.0, kutip dana RM133,000
Next: Pendekatan turun padang perkukuh hubungan wakil rakyat dan rakyat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.