Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Brazil tanpa Neymar untuk harungi kelayakan Piala Dunia
  • SUKAN

Brazil tanpa Neymar untuk harungi kelayakan Piala Dunia

Utusan Sarawak 6 hours ago

RIO DE JANEIRO: Jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti tidak memanggil semula Neymar dan memberi rehat kepada Vinicius Junior bagi kelayakan Piala Dunia menentang Chile dan Bolivia bulan depan, dengan Lucas Paqueta kembali menyertai skuad kebangsaan.

Neymar yang berusia 33 tahun, kembali ke Santos pada Januari lalu, sudah hampir dua tahun tidak menyarung jersi Brazil akibat kecederaan berulang.

“Neymar mengalami sedikit masalah minggu lalu,” kata Ancelotti pada sidang media tanpa memberi butiran lanjut.

Menurut laporan media Brazil, penjaring terbanyak sepanjang zaman negara itu dengan 79 gol dalam 128 perlawanan, mengalami rasa tidak selesa pada paha ketika sesi latihan.

Ketiadaannya dalam skuad bagi dua perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia itu bagaimanapun tidak meresahkan Ancelotti, memandangkan juara lima kali itu sudahpun menempah tiket ke Piala Dunia tahun depan di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico.

“Neymar, kami tidak perlu menguji dia. Semua orang sudah mengenalinya. Sama seperti pemain lain, dia mesti hadir dalam keadaan fizikal yang baik untuk membantu pasukan kebangsaan memberikan yang terbaik di Piala Dunia,” kata jurulatih dari Itali itu.

Neymar sebelum ini dipanggil oleh pendahulu bekas pengendali Brazil, Dorival Junior bagi perlawanan pada Mac lalu, iaitu ketika melakar kemenangan 2-1 menentang Colombia dan kekalahan 1-4 kepada Argentina, tetapi terpaksa menarik diri kerana kecederaan paha.

Dalam dua perlawanan pertama di bawah kendalian jurulatih Itali itu pada Jun lalu, Brazil seri 0-0 menentang Ecuador sebelum menewaskan Paraguay 1-0 hasil jaringan Vinicius yang mengesahkan tempat mereka di Piala Dunia 2026.

Penyerang Real Madrid itu bagaimanapun tidak akan menyertai kem latihan akan datang.

Digantung perlawanan menentang Chile pada 5 September di Stadium Maracana, Rio de Janeiro, staf Brazil memilih untuk tidak membawanya ke Bolivia yang akan berlangsung pada 9 September.

Sementara itu, Paqueta kembali selepas bebas daripada tuduhan pertaruhan oleh sebuah suruhanjaya bebas Liga Perdana Inggeris (EPL) bulan lalu.

Pemain tengah West Ham itu tidak bersama skuad kebangsaan sejak November 2024.

Turut kembali ialah Joao Pedro, yang berada dalam prestasi cemerlang sejak menyertai Chelsea pada bulan lalu.

Penyerang tengah berusia 23 tahun itu menyerlah pada Piala Dunia Kelab Julai lalu, menjaringkan dua gol yang menyingkirkan Fluminense, kelab lamanya, di separuh akhir, serta gol ketiga dalam kemenangan 3-0 ke atas Paris Saint-Germain (PSG) di final. – AFP

Continue Reading

Previous: Van Dijk nasihat Ngumoha kekal rendah diri
Next: Sarawak komited lahirkan petinju terbaik ke SUKMA Selangor 2026

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.