
Penyerang Brazil, Vinicius Jr meraikan gol tunggal kemenangan 1-0 ke atas Paraguay pada aksi kelayakan Piala Dunia FIFA 2026 di Arena Neo Quimica, Sao Paulo. – Foto AFP
SAO PAULO, Brazil: Brazil mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Dunia 2026 di Amerika Utara selepas menang tipis 1-0 ke atas Paraguay pagi tadi, kemenangan pertama di bawah kendalian jurulatih baharu, Carlo Ancelotti.
Juara dunia lima kali itu – satu-satunya pasukan yang layak ke setiap edisi Piala Dunia – kini sah akan beraksi di kejohanan yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada hasil jaringan tunggal Vinicius Jr.
Bintang Real Madrid itu meledak gol kemenangan di Sao Paulo, menyudahkan hantaran lintang pemain baharu Manchester United, Matheus Cunha pada minit ke-44.
Ecuador turut layak apabila mengumpul 25 mata di tangga kedua selepas seri 0-0 dengan Peru di Lima sekalipun beraksi 10 pemain bagi 15 minit terakhir apabila Alan Franco dibuang padang.
Kemenangan Uruguay 2-0 ke atas Venezuela di Montevideo sebelum itu membuka peluang untuk Brazil dan Paraguay layak lebih awal di Arena Corinthians.
Paraguay hanya memerlukan satu mata untuk layak selepas kekalahan Venezuela, manakala Brazil pula perlu menang untuk melayakkan diri.
Akhirnya, Brazil mengambil peluang hasil keputusan itu dengan Vinicius menjaringkan satu-satunya gol perlawanan sebelum tamat separuh masa pertama.
Cunha menebus kesilapannya apabila menjadi pencetus kepada jaringan gol, memanfaatkan gerakan Raphinha sebelum meluru ke dalam kotak penalti dan mengumpan bola leret kepada Vinicius untuk disudahkan dari jarak dekat.
Kemenangan itu meletakkan Brazil di tempat ketiga dalam kedudukan kelayakan zon Amerika Selatan dengan 25 mata daripada 16 perlawanan, sekali gus memastikan kedudukan enam teratas dan layak secara automatik.
Kekalahan itu pula menyaksikan Paraguay kekal dengan 24 mata dan mereka kini hanya memerlukan satu mata lagi untuk layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 2010.
Pada perlawanan lain, Uruguay semakin hampir untuk layak selepas menewaskan Venezuela, manakala Chile tersingkir selepas tewas kepada Bolivia.
Rodrigo Aguirre dan Giorgian de Arrascaeta menjaringkan gol untuk memberikan kemenangan kepada Uruguay kendalian Marcelo Bielsa, sekali gus meletakkan juara dunia dua kali itu dalam landasan kukuh untuk layak.
Seperti Paraguay, Uruguay hanya perlukan satu mata daripada baki dua perlawanan untuk menempah tiket ke kejohanan tahun depan.
Sementara itu, juara bertahan Argentina, yang sudah layak lebih awal, bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat keputusan seri 1-1 menentang Colombia di Buenos Aires.
Bintang Liverpool, Luis Diaz membuka tirai jaringan buat Colombia pada minit ke-24 dengan gol cantik dan peluang mereka semakin cerah apabila Argentina bermain dengan 10 orang selepas Enzo Fernandez dilayangkan kad merah pada babak kedua.
Namun harapan Colombia untuk menang musnah sembilan minit sebelum tamat apabila Thiago Almada melakukan larian solo ke dalam kotak penalti sebelum meledak gol penyamaan. – AFP