Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Brazil, Argentina tewas mengejut
  • SUKAN

Brazil, Argentina tewas mengejut

Utusan Sarawak 3 days ago

EL ALTO: Bolivia mengejutkan Brazil 1-0 untuk mengesahkan tempat ke playoff antara benua kelayakan Piala Dunia 2026, manakala Argentina pula tewas 0-1 kepada Ecuador pada aksi terakhir pusingan kelayakan zon Amerika Selatan, hari ini.

Miguel Terceros menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan babak pertama bagi menghadiahkan kemenangan berharga di La Paz ke atas juara lima kali dunia, Brazil, keputusan yang menyaksikan skuad kendalian Carlo Ancelotti jatuh ke tangga kelima carta.

Bolivia kini akan bersaing di playoff bersama dua wakil dari CONCACAF serta masing-masing satu pasukan dari Afrika, Asia dan Oceania bagi memburu dua slot terakhir ke Piala Dunia di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat (AS).

Aksi playoff dijadual berlangsung di Monterrey dan Guadalajara pada Mac tahun depan.

Walaupun Argentina dan juara bertahan, Ecuador sudahpun layak lebih awal, perlawanan di Guayaquil tetap berlangsung sengit.

Nicolas Otamendi dibuang padang pada minit ke-31 dan tuan rumah memanfaatkan kelebihan pemain apabila Enner Valencia menyempurnakan penalti di penghujung babak pertama.

Namun, Ecuador turut beraksi dengan 10 pemain selepas Moises Caicedo dilayangkan kad merah pada minit ke-50. Bagaimanapun, mereka tetap utuh bertahan untuk mengesahkan kemenangan, sekali gus naik ke tangga kedua kumpulan.

Kekalahan itu tidak menjejaskan kedudukan Argentina yang kekal di puncak dengan 39 mata, sembilan mata di depan Ecuador.

Colombia pula menamatkan saingan di tangga ketiga selepas menewaskan Venezuela 6-3 di Maturin, dengan Luis Suarez meledak empat gol sekali gus memadamkan harapan Venezuela memburu tiket playoff.

Uruguay menutup kempen di tempat keempat selepas seri tanpa jaringan menentang Chile di Santiago, manakala jaringan tunggal Matias Galarza memastikan Paraguay menang 1-0 ke atas Peru di Lima untuk berada di tangga keenam. – Agensi

Continue Reading

Previous: Terbuka Hong Kong: Jun Hao tewaskan Zii Jia
Next: Haaland sumbat lima gol, ketika Norway belasah Moldova 11-1

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.