Oleh: Benjamin Asin
HUJAN yang turun renyai-renyai itu, kini semakin kencang. Kedengaran alunan lirik brayun yang dari tadi terngiang-ngiang, menjadi halwa telinganya. Kayla sedikit gusar. Dia berhasrat segera pulang ke kampung neneknya di Kampung Serasot. Sebenarnya, Kayla tidak begitu meminati amalan budaya dan adat resam kaum Bidayuh. Baginya menoleh dan membongkar sejarah lama dahulu amat membosankan. Mencari sesuatu yang sudah berlalu menghilang bagaikan mengejar air sungai yang mengalir ke muara, banyak masa yang terbuang secara sia-sia.
Namun begitu, minatnya terhadap muzik tradisi Bidayuh membuatkan Kayla berfikir panjang. Menurut rakan seuniversiti yang juga sekampung dengannya, seni lagu tradisi orang Bidayuh sangat unik. Lalu, apakah signifikannya brayun? Takkan orang Bidayuh suka-suka mencipta seni dengan kepelbagaian makna rima, bunyi dan makna yang tertentu? Mesti ada sesuatu di sebalik brayun yang begitu berpengaruh ini?
Sudah lebih 15 tahun seni itu bersemai di kampungnya. Namun, tiada siapa yang berani mendokumentasikannya. Teringin sekali Kayla cuba bertanya kepada orang tua di situ asal muasal brayun, namun belum ada yang mahu bercerita walaupun Sarawak sudah mencapai kemerdekaan di Malaysia yang ke 61 tahun. Kayla sedar, kebanyakan mereka seperti dirinya juga, yang merasakan sejarah lama, apalagi sejarah asal usul seni muzik Bidayuh, tidak begitu penting dalam hidup mereka. Kalau seni itu popular di kalangan pempengaruh Tik Tok, Youtube ataupun pengkaji adat lama, sudah tentu tercatat dalam bentuk video, buku dan terutama yang berminat dengannya.
“Beginilah silapnya masyarakat kita, Kayla. Kita sombong dengan diri kita dan selalu melupakan amalan budaya dan tradisi kita, malah kita akan melupakan seni yang tidak penting itu,” ujar Sinok Jamen, neneknya, yang masih menyedarkan dirinya akan kepentingan seni tradisi lama sekaligus membuatkan sel-sel otaknya berhubung.
“Moga suatu hari nanti aku akan dapat mengajak masyarakat Bidayuh untuk menulis, memperkenalkan brayun. Kalau tidak kisah hidup sekalipun, mereka harus peka dengan sejarah budaya yang beredar dari mulut ke mulut, supaya ada dokumentasi yang menunjukkan betapa tingginya seni masyarakat Bidayuh yang begitu berharga,” sambung neneknya lagi. Percakapannya tersangat memporak-perandakan daya fikir Kayla.
‘Sekali ditenung-tenung, dijungkir balik, cakap nenek itu betul juga. Orang Bidayuh khususnya tidak peka akan budaya amalan adat tradisi. Jangankan amalan brayun, entah-entah susur galur amalan lain pun mereka tidak peka, termasuk aku ini. Semoga langkahku tidak terlambat.’ bisik hati Kayla. Entah kenapa hatinya begitu berminat untuk mendalami brayun, seni lagu tradisi Bidayuh peninggalan nenek moyang mereka dahulu.
Ayun Minyak (Terjemahan)
Masih Sayang
Kenapa baru berbunga masih berbunga
Kuhendak machau kenapa kata begini
Kusayang hingga terkenang
Masihkah bapa hendakkanku tidak ku bisah
Masih semah tidakku buai kayan
Demikianlah brayun yang dinyanyikan oleh neneknya yang diberi nama Ayun Inyuok (Ayun Minyak). Daripada cerita neneknya tadi, dalam keadaan air matanya menitis membasahi pipinya, brayun hanya boleh dinyanyikan seorang penyanyi sahaja. Namun begitu, brayun juga boleh dinyanyikan oleh dua orang atau lebih individu terutamanya ketika berlangsungnya sesuatu perayaan atau majlis keramaian. Malahan, brayun turut dijadikan pertandingan antara pihak lelaki dengan perempuan atau pertandingan antara kampung terdekat.
Adakah neneknya benar-benar bersifat tradisionalis? Kayla tidak mahu menganggap dirinya seorang badut dan bersedia menerima kejutan budaya amalan tradisi masyarakat Bidayuh. Risikonya akan ditanggungnya sendiri. Begitulah cubitan kenyataan yang pertama yang menyayat fikiran bawah sedar Kayla. Rasa bimbang mula bersarang di hatinya, adakah dirinya dapat mengalunkan brayun mengikut kepekatan nada yang tidak rasional kelak.
“Bukan itu sahaja, Kayla. Satu perkara yang jelas dalam brayun ialah wujudnya percampuran bahasa, sama ada bahasa Melayu, dialek bahasa Melayu Sarawak, bahasa Iban dan bahasa-bahasa lain dalam lagu-lagu tersebut. Misalnya, brayun memiliki lirik yang lebih kepada campuran bahasa Iban dan bahasa Bidayuh. Campuran bahasa ini akan mempelbagaikan rima, bunyi dan makna tertentu brayun tersebut. Oleh itu, semakin banyak bahasa-bahasa lain yang dimasukkan dalam lirik brayun, maka semakin bermakna dan berpengaruh brayun tersebut kepada masyarakat Bidayuh.” ujar neneknya yang baru lepas memakan sirih.
“Nenek, apakah asal-usul wujudnya brayun dalam masyarakat Bidayuh?” Kayla semakin ingin tahu.
“Asalnya, brayun dianggap sebuah sajak yang panjang yang menceritakan kisah percintaan masyarakat Bidayuh pada zaman dulu-dulu.” sambung neneknya sambil tersenyum dengan giginya kemerah-merahan.
Kayla terdiam seketika. Mungkin mindanya sedang mengunyah apa-apa yang dikatakan oleh neneknya.
“Jadi, bagaimanakah brayun menggambarkan nilai-nilai hidup masyarakat Bidayuh?” tanya Kayla lagi.
“Kononnya, suatu ketika dahulu, masyarakat Bidayuh tinggal di bahagian pertama di negeri Sarawak dan kawasan bukit bukau dijadikan sebagai penempatan mereka. Oleh itu, memandangkan penempatan masyarakat Bidayuh yang jauh, brayun telah dicipta dan akan dinyanyikan sebagai satu hobi berbentuk hiburan ketika mereka berehat di rumah dan berkumpul bersama rakan sekampung ketika berada di awah rumah”ujar neneknya lagi.
“Brayun tidak sesuai lagi pada zaman sekarang,” ujar Lije yang muncul secara tiba-tiba dengan tegas. Matanya menyapa ke arah dinding rumah yang telah pudar warna asalnya.
Kebanyakan poster mengenai lirik lagu brayun juga semakin pudar warna asalnya. Lije, ibu Kayla, fikirannya tidak menentu. Dia tidak mahu Kayla menuntut ilmu brayun walaupun amalan budaya itu membenarkannya.
Sinok Jamen kebingungan mendengar kata-kata itu. Hatinya menjadi rusuh. Dia membetulkan simpuhnya. Tidak pernah sekalipun mendengar anaknya, Lije bersuara lantang sebelum ini. Suara Lije benar-benar memecahkan kesepian. Tetapi, Sinok Jamen menyembunyikan perasaanya yang sedih di kala amalan budayanya semakin tidak diwarisi. Biarlah dirinya dihina dan dipandang serong. Brayun, seni lagu tradisi Bidayuh yang harus dituntut oleh cucunya sendiri, Kayla.
****
Rumah banglo Lije semakin sibuk didatangi pelawat dari luar negara sejak brayun tersebar meluas di akaun Facebook Kayla beberapa bulan lalu. Pengikut Kayla sudah menjangkau hampir 700 orang dan dijangka akan bertambah lagi. Ramai pelawat ingin menyaksikan keindahan seni lagu tradisi Bidayuh dengan mata mereka sendiri.
Dalam beberapa orang pelawat datang ke rumah membawa hajat, ada yang menawarkan harga dua ribu lima ratus ringgit dolar untuk membeli harga sebuah seni itu. Tetapi, seni tradisional Bidayuh tidak boleh dijual beli. Tawaran lumayan begitu tidak langsung tidak menggerakkan hatinya untuk menjual budaya yang diwarisi turun temurun kepada mana-mana tetamu yang menyinggah. Kayla sayangkan seni lagu tradisi bidayuh, seni yang ditinggalkan oleh arwah neneknya, Sinok Jamen tidak boleh jatuh ke tangan orang luar.
“Ingat, brayun adalah sebuah sajak Bidayuh yang memiliki nilai masyarakat Bidayuh yang halus, hasil daripada kreativiti dan daya cipta yang tinggi. Sebuah karya Bidayuh yang memiliki unsur-unsur moral, pendidikan, nilai hormat-menghormati, taat setia, kesederhanaan, rendah diri dan pelbagai lagi. Penghujung cerita brayun dibiarkan tergantung bagi memenuhi interpretasi setiap individu dan sejarahnya. Nada yang dimainkan semasa menyanyikannya lebih seperti bunyi orang memuja dan sering diiringi dengan perkataan-perkataan yang berulang-ulang. Nama tumbuh-tumbuhan, binatang dan alam akan digunakan secara terhormat dan halus untuk mengalunkan brayun,” begitulah kata-kata neneknya sebelum menutup matanya pada sepuluh tahun lalu.
“Kayla, jagalah seni brayun ini sebaik mungkin sehingga ke akhir hayat. Jangan sekali-kali melupakan asal-usulnya sehingga jatuh ke tangan sesiapa pun dalam apa-apa keadaan sekali pun” pesan neneknya lagi.
Pesanan neneknya itu tidak akan sesekali diingkarinya walaupun orang tua itu sudah melelapkan matanya di ambang usia 80 tahun. Usia tua yang banyak merasai masam manis kehidupan berbanding diri Kayla yang baru mencecah usia 20 tahun Kayla langsung tidak banyak mengetahui rahsia peribadi neneknya yang terpendam sehingga ke liang lahad. Yang dia tahu cuma neneknya mengamalkan brayun sebagai pengikat perpaduan murni masyarakat di Kampung Serasot.
“Brayun, sebuah seni hiburan peninggalan arwah nenek yang banyak berjasa kepada penduduk kampung,” jelas Kayla kepada ibunya serta tidak rela brayun dilupai sehingga tiada makna kepada generasi Kampung Serasot.
Pesan dan nasihat arwah nenek sentiasa tersemat dalam ingatan Kayla, tidak mudah lekang sehingga kini. Kadangkala, pesanan itu membuatnya bosan dan muak mengingat kembali. Kayla ingat benar, brayun itu digunakan oleh arwah neneknya untuk mencari rezeki semasa musim perayaan atau majlis kampung pada suatu masa dahulu. Brayun kerap dinyanyikan semasa perayaan Gawai. Ketika itu, brayun dianggap salah satu acara yang besar dan memerlukan perancangan yang teliti memandangkan ia mengambil masa yang lama. Acara brayun ini akan dinyanyikan selama empat malam berturut-turut dan akan diikuti dengan pantang selama empat malam berturut-turut. Melalui brayun inilah timbul rezeki mendirikan rumah banglo yang sedang didudukinya sekarang.
Sungguh banyak sekali kisah brayun yang didengarnya daripada mulut arwah neneknya, sudah sebati di kepalanya. Tentu ada beberapa lagi perkara yang berkaitan brayun yang tidak sempat diceritakan oleh neneknya, disebabkan perjalanan hidup yang terlalu singkat dan berlalu dengan begitu pantas. Namun, ada beberapa rahsia di sebalik seni brayun ini yang membuatkan ibunya enggan menceritakan kepada Kayla dengan lebih lanjut, kerana ada perkara yang tidak perlu Kayla ambil tahu dan mungkin juga tidak terlalu penting. Perkara itu yang menyebabkan ibunya marah dan tidak membenarkan Kayla untuk mewarisinya.
Para pengunjung yang kerap datang ke rumah sudah tidak terhitung jumlahnya oleh Kayla ketika ini. Mereka teringin sekali ingin mendengar Kayla untuk mengalunkan brayun di hadapan mereka. Kayla tidak mengingat wajah-wajah mereka yang silih berganti dan bertanyakan hal brayun, seni pusaka yang diinginkan mereka untuk dibawa ke negara mereka sendiri. Kedatangan mereka tidak mengira waktu. Dari siang sehingga malam, ada sahaja tetamu yang melawat.
Penduduk kampung tahu nenek Kayla sememangnya seorang pakar bitanun yang paling mahir brayun di kampung Serasot. Brayun jika dinyanyikan semasa perayaan besar seperti perayaan Hari Gawai, akan dijalankan serentak dengan aktiviti-aktiviti seperti bermain gong, menari tarian bilanggi, melakukan kunto dan sebagainya. Lirik lagu brayun biasanya diajar kepada orang yang mahir brayun terutamanya mereka yang berminat untuk mempelajarinya. Akan tetapi, variasinya berbeza berdasarkan kemahiran penyanyi itu sendiri. Namun, Kayla memiliki kemahiran dalam mengalunkan lirik brayun yang telah diwarisi secara lisan dan tidak dapat dilakukan pada tempoh yang agak singkat. Kayla memiliki semangat yang kuat dan disiplin yang tinggi sehingga memerlukan masa tiga tahun untuk menghafal lagu-lagu daripada neneknya.
Pada sangkaan penduduk kampung, kelibat orang asing pelbagai rupa silih berganti ke rumah Lije adalah untuk mempelajari brayun. Tetapi, ternyata salah.Kedatangan tetamu berpanjangan telah membantutkan hasrat Kayla untuk mendekati ibu tercintanya. Poster-poster lirik lagu Ayun Mengenang, Ayun Memuji, Ayun Minyak, Ayun Anak Kecil dan poster sejarah asal-usul brayun yang telah pudar warnanya yang menghiasi dinding sebuah bilik di banglo yang diibaratkan sebagai muzium budaya bagi Kayla menjadi tontotan para pelawat yang mahu melawat sendiri secara dekat. Sebelum ini, mereka hanya melihatnya di media sosial. Ada yang bergambar kenangan beraneka gaya bersama poster yang sudah pudar tetapi tidak mungkin pupus tersebut. Mungkin begitu juga pudar hati ibunya terhadap satu-satunya anaknya, Kayla akibat pertentangan amalan budaya neneknya itu.
Tatkala itu, ada juga tetamu yang bermurah hati menghulurkan satu dolar kepada Kayla sebagai bayaran sagu hati walaupun Kayla tidak meminta. Pemberian para tetamu mengingatkan dirinya kepada salah satu cerita neneknya apabila kumpulan penyanyi yang kalah akan membayar sagu hati sebagai penghormatan kepada kumpulan penyanyi yang menang semasa acara brayun diadakan. Pada asalnya, kumpulan penyanyi yang agak ramai akan dipecahkan kumpulan yang terdiri daripada kumpulan penyanyi lelaki dan perempuan (pihak yang menjual lagu dan pihak yang membeli lagu). Kedua-dua pihak akan saling berbalas lagu sehingga ada pihak yang tidak mampu membalas lagu akan dikira sebagai kalah. Tetapi, apabila kalah, tiada sebarang bentuk hukuman yang dikenakan kerana aktiviti ini sememangnya hanya untuk hiburan semata-mata.
Selepas tetamu pulang, Kayla menutup rapat pintu rumah dan mengeluarkan wang yang dikumpulnya pada tambuk kecil perlahan-lahan. Matanya terbeliak melihat longgokan wang kertas yang tidak terkira di ruang tamu. Perasaan Kayla kelam dikaburi longgokan wang kertas itu.
“Eh Kayla, kamu tidak tahu apakah di sebalik duit itu.” Tegur Lije yang baru keluar dari dapur.
“Syyy,” Kayla meletakkan jari telunjuknya kanannya di bibir sebagai tanda amaran. “Ini hasil Kayla viralkan brayun di Facebook. Rupa-rupanya inilah hasil yang kita dapat,” ujar Kayla bangga dan mungkin menganggap dirinya popular kerana menarik perhatian pelawat asing.
“Kayla, kamu tidak tahu duit itu yang menyebabkan nenek kamu retak rumah tangga dan berpisah dengan datukmu. Akibat itu juga, keluarga kita dibenci oleh penduduk kampung. Ibu tidak mahu kamu seperti nenek kamu. Ibu masih sayang kamu, Kayla. Ibu tidak mahu kita bersengketa sesama sendiri disebabkan oleh brayun.” balas Lije dengan nada tegas.
Kayla diam memikirkannya. Kayla mengganggap usahanya menjenamakan semula brayun dalam tempoh seminggu ini adalah sia-sia dan tidak pernah disokong ibunya.
***
Sejak kebelakangan ini, rumah banglo Lije semakin berkurangan pelawat dari luar negeri. Rumah banglo itu kembali kosong dan sepi tanpa riuh gelak ketawa mereka yang membingitkan telinga saban hari. Adakah daya tarikan brayun sudah hilang magisnya? Kayla tidak tahu puncanya, masalah sudah jadi begitu. Kayla tetap mendengus nafas kasar sebagai satu keluhan berbaur hampa. Rancangan untuk berdamai dengan ibunya semakin dilupakan. Mungkin akan terbengkalai begitu sahaja. Kayla masih sayangkan seni tradisi budaya Bidayuh berbanding ibunya sendiri.
Kayla hampa dan membiarkan kata-kata ibunya pada seminggu lepas meresapi fikirannya yang kosong. Kata-kata ibunya memang logik pada akalnya. Kayla sedar, perkara ini tidak akan berkekalan. Lambat laun, tidak mustahil aktiviti brayun ini akan dilupakan dalam sekelip mata. Tetapi bagi diri Kayla, seni brayun masih nombor satu di hatinya. Sudah sebati dalam dirinya.
Tingkap rumah banglo terkuak itu dihampirinya perlahan-lahan dan Kayla mendekatinya dengan penuh langkah longlai. Melalui tingkap ini, Kayla berdiri sejenak dan memandang keluar bersama fikiran kosong sambil mengalunkan brayun tanpa sengajanya. Betapa rindunya Kayla mengenangkan pengorbanan jasa neneknya kerana masih memelihara seni brayun yang masih berharga sehingga kini.
Glosari
bitanun seseorang yang mahir berpantun
bilanggi tarian masyarakat Bidayuh
kunto sejenis silat mempertahankan diri masyarakat Bidayuh