
KUCHING: Tujuh tahun menunggu, tujuh tahun merindui debaran lampu sorot, sorakan penonton dan deruan muzik di pentas pertandingan.
Semalam, segala kerinduan itu terubat apabila staf Sarawak Energy, Brandon Baki, melangkah gagah sebagai juara kategori Sukan Fizik Lelaki 170cm ke bawah pada Kejohanan Mr. Kuching 2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Belia dan Sukan Sarawak (KOMBES), di sini.
Bagi Brandon, kejayaan ini adalah hadiah untuk diri sendiri selepas melalui penantian yang panjang.
“Saya sangat-sangat gembira, kerana sudah tujuh tahun tidak beraksi di atas pentas. Satu kerinduan yang lama tersimpan akhirnya terubat pada hari ini,” luahnya sambil senyumannya mempamerkan rasa bangga bercampur syukur ketika ditemui wartawan Utusan Sarawak, Shikin Mahmud sejurus selesai pertandingan di Dewan Serbaguna Kompleks Belia dan Sukan Sarawak (KOMBES).
Kerinduan itu bukan sekadar kerana minat terhadap sukan bina badan, tetapi kerana rasa ingin menguji diri, membuktikan bahawa disiplin dan usaha yang konsisten mampu membawa dirinya kembali bersaing di tahap tertinggi.
Bukan semua kejayaan memberi kesan yang sama dalam hidup seseorang, dan bagi Brandon, kemenangan ini membawa erti mendalam.
“Kemenangan ini amat penting kerana saya telah lama bercita-cita untuk memasuki Mr. Kuching. Selain itu, ia juga menjadi penentu sama ada saya layak atau tidak mewakili pasukan Kuching ke Mr. Sarawak,” katanya, dengan nada yang jelas mempamerkan rasa lega setelah usaha kerasnya berbalas.
Kejayaan ini adalah simbol kepada impian yang tidak pernah padam, walaupun terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk menyemai kembali keyakinan dan kekuatan fizikal.
Brandon mengakui, perjalanan menuju kejohanan ini penuh cabaran.
Latihan fizikal dan mental dilakukan setiap hari tanpa culas, malah beliau perlu menyusun jadual agar masa bersama keluarga tetap terpelihara.
“Saya berlatih setiap hari dan terpaksa membahagikan masa bersama isteri dan anak. Jika ada masa yang terluang, saya akan membawa mereka riadah bersama dan tetap membawa bekal tiap kali keluar makan di luar,” ujarnya.
Pengorbanan itu tidak kecil bukan hanya melibatkan tenaga dan masa, tetapi juga menuntut kekuatan untuk menolak godaan yang boleh mematahkan disiplin, khususnya dalam hal pemakanan.
Di sebalik kejayaan ini, Brandon tidak melupakan peranan majikannya, Sarawak Energy, khususnya Ketua Jabatan beliau, Voon Chin Ho.
“Beliau sentiasa memberi dorongan dan kata-kata semangat kepada saya, malah tidak menghalang saya untuk memasak di pejabat kerana saya perlu makan setiap dua hingga tiga jam. Pada masa yang sama saya pastikan kerja saya siap pada waktu yang ditetapkan,” katanya.
Sokongan sebegini, kata Brandon, menjadi pembakar semangat untuk terus berusaha tanpa perlu memilih antara kerjaya dan minat.
Bukan semua orang memahami cabaran diet yang ketat, namun Brandon beruntung kerana dikelilingi rakan sekerja yang menyokong penuh.
“Sebelum ini rakan sekerja selalu membawa saya keluar makan di luar. Saya memberitahu mereka saya masih diet, dan mereka menghormati saya. Malah mereka sentiasa memberi nasihat supaya teruskan diet dan jangan berputus asa,” katanya dengan nada terharu.
Bagi beliau, inilah bentuk persahabatan sejati, ketika rakan-rakan sanggup menghormati pilihan dan perjuangan anda walaupun ia berbeza daripada kebiasaan.
Dalam dunia bina badan dan sukan fizik, Brandon mempunyai dua tokoh yang menjadi sumber inspirasinya iaitu Mohd Faizal (Jaja) dan Mohd Al Badrul.
Kedua-dua figura ini menjadi rujukan dan pendorong semangatnya untuk terus melangkah.
Baginya, kunci kejayaan adalah disiplin, dan itu bermula dari rutin harian. “Saya sentiasa bangun awal dari sebelum ini supaya dapat datang ke pejabat awal dan siapkan kerja lebih awal dari biasa. Dengan itu saya dapat membahagikan masa untuk memasak makanan harian di pejabat. Selalunya saya akan sediakan makanan saya pada awal pagi,” jelasnya.
Brandon menitipkan pesan yang lahir daripada pengalaman sebenar.
“Jangan mudah berputus asa, kerana setiap kejayaan memerlukan pengorbanan,” katanya.
Pesanan ringkas itu mengandungi erti mendalam, khususnya kepada anak muda Sarawak yang mahu menceburi bidang bina badan atau apa jua cabang sukan.
Beliau mahu generasi muda sedar bahawa kejayaan memerlukan ketabahan untuk menghadapi detik sukar dan kesabaran untuk menunggu hasilnya.
Kejayaan di Mr. Kuching 2025 hanyalah permulaan. Sasaran seterusnya jelas mewakili Kuching di pentas Mr. Sarawak dan jika diizinkan rezeki, membawa nama negeri ke kejohanan berprestij, Mr. Malaysia.
“Selagi ada kudrat dan peluang, saya akan berjuang,” tekadnya, menutup bual bicara dengan nada penuh semangat.
Oleh Shikin Mahmud