SHEILA ZAIDI
KUCHING : Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi membantu rakyat dalam menghadapi krisis Covid-19 turut melibatkan golongan pelajar institut pengajian tinggi.
Bantuan sebanyak RM200 yang diberikan secara one-off akan diagihkan kepada pelajar IPT dan telah diperluaskan juga kepada setiap pelajar tingkatan enam, penuntut jurusan diploma dan lain-lain yang setara.
Namun demikian, masih belum dipastikan sama ada pelajar separuh masa turut tersenarai untuk menerima bantuan itu.
Utusan Sarawak mendapatkan komen beberapa pelajar universiti yang belajar secara separuh masa berhubung perkara itu.
Nurfazirah Boman, ketika ditemui berkata, bantuan itu adalah suatu langkah yang cukup prihatin yang diambil oleh kerajaan dalam membantu golongan pelajar.
“Namun, sebagai seorang pelajar dan juga individu yang bekerja serta tergolong dalam kategori B40, saya tidak pasti sama ada saya menerima bantuan ini ataupun tidak.
“Ini kerana, syarat utama untuk menerima bantuan ini adalah berstatus pelajar sepenuh masa,” katanya.
Semasa menyemak status kelayakan untuk BPN bagi golongan B40 bujang yang berjumlah RM800, Nurfazirah memberitahu namanya tidak layak untuk menerima bantuan tersebut kerana beliau dikategorikan sebagai pelajar.
Bagi Desmond Jimbun Ambau, syarat untuk menerima bantuan itu agak mengelirukan dan kurang jelas.
“Sebagai pelajar separuh masa dan juga ketua keluarga, saya mungkin tidak menerima kedua-kedua bantuan ini.
“Untuk BPN golongan B40, saya tersenarai sebagai tidak layak kerana berstatus pelajar, namun syarat untuk menerima bantuan bagi pelajar pula mestilah sepenuh masa,” ujarnya.
Siti Syaabarina Abdul Hamid pula berkata, beliau agak beruntung berbanding dengan rakan pelajar separuh masa yang lain kerana suaminya tersenarai untuk menerima bantuan BPN bagi golongan M40.
“Tetapi, sebagai pelajar, bantuan tersebut tentunya dapat meringankan beban saya untuk membeli buku rujukan serta kelengkapan belajar yang lain.
“Walaupun bekerja, saya tidak menerima sebarang tajaan daripada mana-mana pihak untuk membayar yuran pengajian,” katanya.
Tambah Syaabarina, bantuan BPN yang diterima atas nama suaminya itu pula, sudah pasti akan digunakan untuk perbelanjaan keluarga dan dua orang anaknya.
Sementara itu, Asri Helmie Zainal Abidin berkata, beliau berkongsi masalah yang sama dengan rakan yang lain.
“Sebagai individu yang bekerja sendiri, pendapatan saya agak terjejas semasa tempoh PKP ini.
“Namun, disebabkan status sebagai pelajar, saya tidak tersenarai sebagai penerima bantuan BPN,” katanya.
Tambah merisaukan lagi, bantuan untuk pelajar IPT yang diumumkan juga tidak diketahui sama ada turut melibatkan pelajar separuh masa, ujar Asrie.
Bagi Lovyna Dura Cillie, beliau sangat berharap untuk mendapatkan salah satu daripada bantuan yang diberikan oleh kerajaan itu.
Katanya, sebagai golongan B40, beliau memenuhi semua syarat kelayakan yang digariskan namun status sebagai pelajar menyebabkannya gagal menerima bantuan tersebut.
Mohd Faridzuan Mahmud juga berkongsi pendapat yang sama, dan berharap kerajaan membolehkan pelajar separuh masa untuk turut menerima bantuan sama ada untuk kategori pendapatan masing-masing ataupun bantuan pelajar IPT.
Semua pelajar separuh masa yang ditemui itu sangat berharap sesuatu dapat dilakukan bagi membolehkan mereka turut sama menikmati bantuan itu.