
PETRA JAYA: Usaha memperkasa agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam kalangan institusi kewangan terus diperkukuh apabila Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1,308,624 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) bagi tahun kewangan 2024.
Majlis penyerahan disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.
Penyerahan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Dato’ Muzaffar Hisham kepada Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha, mewakili TBS.

Turut hadir Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie, Ketua Sektor Kewangan dan Pentadbiran TBS, Iskandar Allan, Pengarah Serantau Sarawak SME Bank, Abang Sulaiman Abang Abdillah dan tetamu kenamaan lain.
Penyerahan zakat ini bukan sekadar memenuhi tuntutan kewajipan syariah, tetapi juga mencerminkan komitmen BPMB untuk menyokong agenda pembangunan sosioekonomi ummah di Sarawak, khususnya melalui program bantuan pendidikan, kebajikan dan keusahawanan yang dilaksanakan TBS.
-UKAS