
BINTULU: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) melalui Program Jelajah Kasih Yayasan Bintulu Port menyalurkan agihan wakalah berjumlah RM100,000 kepada penerima di Bintulu sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menyokong keperluan kebajikan, keagamaan dan pendidikan masyarakat setempat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Dato’ Ruslan Abdul Ghani berkata, agihan wakalah tersebut melibatkan empat masjid, tiga surau, empat surau premis termasuk surau sekolah, empat institusi pendidikan serta satu agihan khas kepada sekolah angkat Bintulu Port.
Menurut beliau, amanah wakalah yang diterima daripada Baitulmal Sarawak itu bertujuan memastikan agihan zakat dapat disalurkan secara berkesan kepada golongan yang memerlukan, selain menyokong usaha kebajikan, pendidikan dan pembangunan ummah di peringkat setempat.
“Program ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Yayasan Bintulu Port dalam melaksanakan tanggungjawab sosial serta menyantuni keperluan masyarakat setempat.
“Amanah wakalah yang diterima daripada Baitulmal Sarawak ini bertujuan memastikan agihan zakat disalurkan secara berkesan kepada golongan yang memerlukan, selain menyokong usaha kebajikan, pendidikan dan pembangunan ummah di peringkat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pengurus Besar Group Stakeholder Relations BPHB merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bintulu Port, Maslihah Tioh, sempena Program Jelajah Kasih Yayasan Bintulu Port dan Program Tanggungjawab Sosial Korporat Bintulu Port Prihatin yang berlangsung di sebuah hotel di sini, hari ini.
Katanya lagi, kerjasama erat Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Bintulu amat penting bagi memastikan proses pemilihan penerima dan pelaksanaan penyerahan wakalah tersebut dapat dijalankan secara telus, teratur dan berhemah, selari dengan prinsip amanah dalam pengurusan zakat.
“Harapan kami, semoga bantuan ini dapat meringankan beban para penerima dalam melaksanakan program masing-masing, terutamanya menjelang ketibaan Ramadan tidak lama lagi,” ujar beliau.
Oleh Carolyne Utih