KUCHING: Peralihan pentadbiran mendorong Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) sebagai infrastruktur kritikal yang menghubungkan industri Sarawak ke peringkat dunia.
Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, peralihan pentadbiran di bawah kerajaan negeri menjadikan BPHB berperanan penting sebagai pintu masuk utama perdagangan dan pertumbuhan industri ke Sarawak.
“Dengan tumpuan baharu terhadap kecemerlangan operasi, pengembangan strategik, dan penciptaan nilai jangka panjang, BPHB komited untuk memastikan Bintulu Port kekal sebagai pintu masuk utama bagi perdagangan, pertumbuhan industri, dan kemajuan ekonomi mampan untuk Sarawak, dan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Bintulu Port Bersama Media di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Jelasnya, sama ada dalam sektor tenaga, petrokimia atau tenaga bersih, Bintulu Port bersedia untuk menyokong dan memacu aspirasi Sarawak ke hadapan.
Beliau yang juga Pengerusi BPHB turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada agensi-agensi media yang terus bekerjasama untuk menyampaikan mesej Bintulu Port.
“Kami sangat bertuah mempunyai komuniti media yang begitu berdedikasi bersama kami.
“Malam ini (tadi) bukan sekadar penghargaan, tetapi juga satu perayaan terhadap hubungan yang telah kita bina.
“Kami menghargai kepercayaan dan rasa hormat yang wujud antara kita, dan kami berharap untuk terus memperkukuh hubungan ini dalam kerjasama kita pada masa hadapan,” ujarnya.
Turut hadir, isteri kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak Datin Amar Baduyah Bujang, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datu Chiew Chee Yau, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad Ruslan Abdul Ghani, Residen Bahagian Kuching Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan, dan Ketua Pegawai Eksekutif, Suara Sarawak & New Sarawak Tribune Dato Dr. Jeniri Amir.