Penyerang Bournemouth, Evanilson (kanan) meraikan jaringan penyamaan ketika menentang Sunderland di Stadium Vitality. – Foto AFP
BOURNEMOUTH: AFC Bournemouth terlepas peluang untuk mengukuhkan impian ke pentas Eropah selepas sekadar seri 1-1 menentang Sunderland dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Vitality, sebentar tadi.
Skuad kendalian Andoni Iraola terlebih dahulu dikejutkan apabila pelawat membuka tirai jaringan pada babak pertama menerusi sentuhan Eliezer Mayendra yang meledak gol pertamanya dalam liga sejak Ogos lalu.
Gol itu hadir pada minit ke-18 selepas percubaan deras Habib Diarra ditepis penjaga gol Bournemouth, Djordje Petrovic sebelum Mayenda pantas menyambar bola muntah dari jarak dekat.
Kehadiran semula kapten Sunderland, Granit Xhaka dalam kesebelasan utama buat kali pertama sejak 17 Januari jelas memberi impak besar.
The Black Cats sebelum ini tewas empat daripada lima perlawanan tanpa kelibat pemain tengah berpengaruh itu akibat kecederaan buku lali.
Bournemouth yang tidak tewas dalam tujuh aksi liga sebelum ini, terus mengasak dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-64.
Hantaran lintang Marcus Tavernier gagal ditangani kemas penjaga gol Sunderland, Robin Roefs sebelum Evanilson menolak masuk bola menggunakan bahunya untuk gol keenam musim ini.
Sunderland hampir menggandakan kelebihan sejurus babak kedua bermula, namun Diarra mensia-siakan peluang apabila rembatannya tepat ke arah Roefs.
Keputusan seri itu menyaksikan Bournemouth kekal di tangga kelapan liga, sekali gus terlepas peluang merapatkan jurang dalam perebutan kelompok ke Liga Juara-Juara, manakala Sunderland hanya dua mata di belakang pada kedudukan ke-11. – AFP