Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Bot tunda, tongkang ditahan Maritim Malaysia akibat pelbagai kesalahan perkapalan
  • JENAYAH

Bot tunda, tongkang ditahan Maritim Malaysia akibat pelbagai kesalahan perkapalan

Utusan Sarawak 11 hours ago
ANTARA kru kapal yang turut ditahan semasa Op Tiris 4.0, Op Permai 01/2019 dan Op Pukat ketika rondaan penguatkuasaan rutin di kawasan perairan Bintulu, semalam. Foto Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda bersama sebuah tongkang yang disyaki melakukan beberapa kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dalam operasi penguatkuasaan di perairan Bintulu, semalam.

Pengarah Maritim Zon Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata penahanan itu dilakukan kira-kira 3.00 petang menerusi Op Tiris 4.0, Op Permai 01/2019 dan Op Pukat ketika rondaan penguatkuasaan rutin di kawasan berkenaan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati bot tunda dan tongkang terbabit dipercayai melakukan beberapa kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Antara kesalahan yang dikesan ialah gagal memaklumkan pertukaran nakhoda kepada Pegawai Pelabuhan mengikut Seksyen 22(2A) ordinan berkenaan.

“Selain itu, vesel terbabit juga disyaki gagal mengemukakan dokumen kestabilan kapal (Stability Document) seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 276(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan turut mendapati bot tunda itu gagal mengemukakan Lesen Pelayaran Domestik (Domestic Shipping Licence – DSL) yang sah mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Lembaga Pelesenan Perkapalan Dalam Negeri 1981.

MARITIM Malaysia Zon Maritim Bintulu berjaya menahan sebuah bot tunda bersama sebuah tongkang yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan undang-undang pelayaran di perairan Bintulu semalam. Foto Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

“Siasatan awal mendapati bot tunda bersama tongkang itu dikendalikan oleh sembilan kru yang terdiri daripada tujuh warga Indonesia termasuk nakhoda serta dua warga India,” ujarnya.

Katanya, bot tunda bersama tongkang tersebut kemudian diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Muhammad Suffian berkata jika disabitkan kesalahan, tindakan perundangan boleh dikenakan mengikut peruntukan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Peraturan-Peraturan Lembaga Pelesenan Perkapalan Dalam Negeri 1981.

Beliau berkata hukuman yang boleh dikenakan termasuk denda, kompaun atau tindakan lain bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan itu mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memastikan semua vesel yang beroperasi di perairan negara mematuhi undang-undang maritim serta piawaian keselamatan pelayaran.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang boleh menjejaskan keselamatan pelayaran, keselamatan perairan dan kedaulatan maritim negara,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi keperluan dokumentasi, pelesenan serta prosedur keselamatan ketika beroperasi di laut bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999, Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di talian 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 untuk tindakan segera.

Oleh Adi Safarman

Tags: Jenayah

Continue Reading

Previous: Dua lelaki ditahan, polis rampas lebih satu kilogram syabu bernilai RM51,397 di Kuching
Next: 140 liter diesel, 530 liter petrol disita dalam serbuan KPDN Miri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.