
BINTULU: Sebuah bot tunda telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu dalam satu rondaan petang semalam kerana disyaki melanggar syarat sah lesen pengoperasian.
Menurut Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah, bot berkenaan ditahan sekitar 2.30 petang pada jarak 4.9 batu nautika dari barat laut Kuala Kemena oleh pasukan rondaan yang menjalankan Operasi Tiris 3.0, OP PERMAI 01/2019 dan OP MARDOF 1/2025.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut beroperasi tanpa keanggotaan mencukupi sebagaimana ditetapkan dalam lesen.

“Bot itu dikendalikan hanya oleh seorang kru warga tempatan berusia 26 tahun dan seorang kru warga Indonesia berusia 23 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, bot terbabit disyaki melanggar Kaedah 12, Boat Rules 1953 kerana gagal memenuhi syarat keanggotaan seperti yang ditetapkan oleh Pegawai Pelabuhan.
Jika sabit kesalahan, tegasnya, pihak terlibat boleh dikenakan denda atau kompaun mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Tambahnya lagi, bot bersama kru telah diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat.
Dalam pada itu, Muhammad Suffian turut menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di laut.
Sebarang aduan atau kecemasan, ujarnya, boleh disalurkan ke talian 999, Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di 086-314254, atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432544, yang beroperasi 24 jam sehari.
Oleh Carolyne Utih