
MIRI: Sebuah bot tunda telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri pada Rabu lalu, kira-kira 4.0 batu nautika dari barat laut Tanjung Baram.
Penahanan dilakukan selepas bot terbabit didapati melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen pertukaran nakhoda.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad dalam satu kenyataan media malam tadi, berkata penahanan dibuat oleh pasukan peronda Maritim Malaysia sekitar 12.30 tengah hari ketika pelaksanaan Op Permai 01/2019 dan Op Tiris 3.0.
“Bot tunda itu membawa tiga kru termasuk nakhoda, terdiri daripada dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia berusia antara 39 hingga 53 tahun, telah ditahan.
“Bot bersama kru tersebut telah diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Miri untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut,” katanya.
Kes turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1956 kerana disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial serta tidak memiliki permit kerja yang sah.
Dalam pada itu, Mohd Khairol menegaskan komitmen Maritim Malaysia untuk terus mempertingkat rondaan dan pemantauan bagi membanteras sebarang pelanggaran undang-undang dan jenayah maritim di perairan negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat, aduan atau menghadapi kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim (PUSOP) Zon Maritim Miri di talian 085-649 111, Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 / 082-432016 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” tambahnya.
Oleh Liong Chai Ling