
MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Zon Maritim Miri berjaya menanah sebuah bot tunda bersama empat kru selepas didapati gagal mempamer serta mengemukakan dokumen sah semasa belayar, Isnin lalu.
Penangkapan dan rampasan kes tersebut telah disahkan oleh Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sepasukan pegawai penguasa APMM Zon Maritim Miri yang melaksanakan Ops Permai 01/2019 dan Ops Tiris 3.0 di kawasan perairan Miri telah menahan sebuah bot tunda untuk tujuan pemeriksaan pada Isnin lalu.
“Ketika ditahan pada 5.20 petang, bot tunda itu sedang berada pada kedudukan 5.6 batu nautika dari barat Kuala Lawas.
“Pemeriksaan mendapati bot itu gagal mempamerkan Lesen Perkapalan Domestik (DSL) serta gagal mengemukakan Surat Pelepasan Pelabuhan semasa memasuki pelabuhan Malaysia,” katanya.

Tambahnya, bot tunda tersebut bersama juragan dan tiga kru berusia antara 21 hingga 62 tahun kemudian ditahan dan diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Miri untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1962 kerana gagal mempamerkan DSL semasa diperiksa dan Akta Kastam 1967 atas kegagalan mengemukakan Surat Perlepasan Pelabuhan semasa memasuki Pelabuhan Malaysia.
Justeru, beliau menegaskan APMM sentiasa komited dalam melaksanakan rondaan serta pemantauan bagi mencegah sebarang bentuk pelanggaran undang-undang dan jenayah maritim di perairan negara.
Pada masa sama, Mohd Khairol turut menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim (PUSOP) Zon Maritim Miri di talian 085-649111, Maritim Negeri Sarawak (082-432544/082-432016) atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.
Oleh Adum Liu