
LIMBANG: Bot penambang yang membawa 12 penumpang karam di perairan negara Brunei selepas dilanda ombak kuat.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Parum Niot, berkata semua penumpang terselamat selepas bot penambang yang dinaiki kesemua mangsa, termasuk seorang kanak-kanak, mengalami kebocoran akibat hentakan ombak kuat di perairan laut Brunei dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi semalam.
Pemandu bot dan kru sempat menghubungi pemilik bot untuk memaklumkan keadaan bot yang pecah dipukul ombak, sebelum menghubungi sebuah bot penambang di Limbang bagi membantu membawa penumpang ke Limbang kerana bot mereka mengalami kebocoran dan kerosakan.

“Seramai 12 mangsa terlibat dalam kejadian itu dan kesemua penumpang dilaporkan selamat apabila sempat berlindung di bawah Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien sebelum bot berkenaan karam.
Bot tersebut dalam perjalanan dari Sundar, Lawas ke Daerah Limbang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berikutan kejadian berkenaan pihak Polis Marin Brunei Darussalam membawa pemandu bot dan kru kapal ke balai polis Muara bagi tujuan pengambilan keterangan.
“Sementara itu, semua mangsa telah dibawa menggunakan bot penambang lain untuk dihantar ke Daerah Limbang.
“Manakala pemandu bot dan kru bot telah dihantar balik oleh Polis Marin Brunei ke muara Sundar Lawas dan diambil oleh bot kampung di Sundar.
“Polis Brunei telah membantu menunda bot tersebut ke Kampung Limpaku Pinang, Limbang,” katanya.
Kata Parum pihaknya turut berterima kasih atas bantuan Polis Marin Brunei dalam membantu melancarkan urusan menyelamat kesemua mangsa.
Perkhidmatan bot laju sekarang masih diguna oleh segelintir penumpang yang beroperasi daripada daerah kecil Sundar ke Limbang melalui laut Teluk Brunei ke Sungai Limbang.
Oleh Adeng Edrus