
JAKARTA: Keluarga dari Sepanyol yang terdiri daripada empat orang dilaporkan hilang selepas sebuah bot pelancong tenggelam di Indonesia, menurut agensi berita negara Antara, hari ini.
Bot tersebut membawa 11 orang ketika ia tenggelam di Selat Pulau Padar berhampiran destinasi pelancongan popular Labuan Bajo semalam, kata Antara.
Tujuh orang termasuk dua pelancong Sepanyol, empat anak kapal dan seorang pemandu pelancong berjaya diselamatkan.
Operasi mencari empat mangsa yang masih hilang diteruskan hari ini.

Pihak berkuasa pelabuhan Labuan Bajo menyatakan punca kejadian adalah ombak besar setinggi sehingga tiga meter, menurut Antara.
“Keadaan ini menyukarkan kami untuk menjalankan operasi pencarian awal,” kata Ketua Pihak Berkuasa Pelabuhan, Stephanus Risdiyanto, kepada agensi tersebut.
Pulau Padar ditutup kepada pelancong hari ini berikutan keadaan cuaca yang ekstrem.
Kemalangan maritim kerap berlaku di Indonesia, negara kepulauan Asia Tenggara yang mempunyai sekitar 17,000 pulau, sering berpunca daripada piawaian keselamatan yang longgar dan cuaca buruk.
-AFP