
TANJUNG MANIS: Bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Manis selepas disyaki melanggar syarat lesen iaitu menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan dalam kejadian di perairan Pulau Bruit, tengah hari semalam.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mahkos Juing berkata, bot ronda APMM Tanjung Manis yang sedang melakukan rondaan rutin telah mengesan bot terbabit sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut mendapati ia dikendalikan oleh seorang pengemudi bot dan dua orang kru bot, kesemuanya warga tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bot terbabit disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melanggar syarat sah lesen dengan menggunakan peralatan yang tidak dilesenkan.
Bot berkenaan bersama tiga individu terbabit telah diiring masuk ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Manis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kejadian kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Tanjung Manis menerusi talian 011-35727765 atau talian kecemasan 999 bagi maklum balas segera.