
PETRA JAYA: Sukan bot kawalan jauh semakin mendapat perhatian dalam kalangan peminat sukan rekreasi dan perlumbaan, dengan kos pembinaan sebuah bot mencecah sehingga RM5,000 bergantung kepada spesifikasi serta tujuan penggunaannya.
Penggemar sukan bot kawalan jauh, Hamzah, berkata beliau mula menceburi hobi itu pada 2022. Menurutnya, kos pembinaan sesebuah RC Bot bergantung kepada minat dan kegunaan pemilik sama ada untuk rekreasi atau perlumbaan.

“Jika sekadar untuk hobi atau bersantai, kosnya sekitar RM2,000. Namun, jika digunakan untuk perlumbaan, enjin dan aksesori perlu dinaik taraf, menyebabkan kos boleh mencecah antara RM4,000 hingga RM5,000,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan bot kawalan jauh menggunakan petrol RON95 yang dicampur dengan minyak dua lejang, sama seperti campuran bahan api yang digunakan pada enjin mesin rumput.
“Enjin yang digunakan ialah enjin berprestasi tinggi khas untuk bot kawalan jauh bagi membolehkan bot dipacu pada kelajuan tinggi,” jelasnya.

Tambah beliau, kebanyakan komponen seperti badan bot, enjin dan aksesori dibeli secara berasingan sebelum dipasang sendiri.
“Proses pemasangannya umpama menyusun Lego. Semua komponen dipasang satu demi satu sehingga siap. Memang ada bot yang dijual siap dipasang, tetapi harganya lebih mahal,” katanya.
Hamzah turut menjelaskan terdapat perbezaan antara enjin keluaran tempatan dan import, dengan enjin tempatan menawarkan kapasiti silinder lebih besar sekitar 45cc berbanding kebanyakan enjin import yang sekitar 32cc.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan orang ramai yang berminat untuk menceburi sukan bot kawalan jauh supaya mendapatkan bimbingan daripada komuniti mereka.
“Mereka yang berminat boleh mengikuti akaun TikTok ahamzah_mrcb atau Facebook MRCB Racing Team. Kami sedia membantu dan memberi tunjuk ajar dari A hingga Z kepada sesiapa yang ingin berkecimpung dalam hobi ini,” katanya.





