KUCHING: Keempat-empat mangsa tragedi bot regata karam di Sungai Sarawak akan diuruskan di kampung halaman masing-masing.
Memetik kenyataan Jabatan Penerangan, jenazah Allahyarham Mohamad Khairul Bidin, 26 tahun merupakan jenazah pertama yang dikeluarkan oleh Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Umum Sarawak (HUS).
Cuaca mendung mengiringi jenazah pertama yang dikeluarkan pada tepat 1.20 petang setelah disembahyangkan.
Jenazah Allahyarham Mohamad Khairul seterusnya akan dibawa serta akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tambak Pusa, Betong.
Sementara itu, jenazah Allahyarham Majurie Maharuf, (32) dikebumikan di Balingian, Mukah manakala jenazah Allahyarham Mohd Afiq Isyamudin Asaari (26) akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Rangawan Sadong Jaya, Samarahan.
Bagi jenazah Allahyarham Mohammad Ikhmal Sama’ail (34) akan diuruskan di Tanah Perkuburan Kampung Tanjung Bundong Samarahan dan jenazah Allahyarham Muhammad Khairul Hisham Kasturi (23) yang merupakan mangsa terakhir akan dikuburkan di Tanah Perkuburan Kampung Rebak, Asajaya.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa tragedi perahu karam kelmarin telah ditamatkan pada 10.00 pagi tadi susulan penemuan kelima-lima mangsa seawal 6.00 pagi, hari ini.
Tragedi perahu karam tersebut membabitkan lima mangsa dari Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) yang menyertai latihan untuk Regatta Sarawak yang berlangsung pada minggu depan.