SIBU: Terminal Penumpang Sibu (TPS) yang sebelum ini dikenal pasti sebagai terminal penumpang paling sibuk di negeri, kini lengang berikutan kekurangan jumlah penumpang.
Penurunan jumlah penumpang dipercayai berlaku sejak Jalan Sibu/Kanowit/Song/Kapit dibuka mulai 4 Oktober lalu.
Tinjauan pemberita sekitar jam 9.00 pagi semalam mendapati keadaan di TPS lengang, berbanding sebelum ini.
Keadaan itu dikhuatiri bukan sahaja memberikan kesan kepada para pengusaha bot ekspress bagi laluan Sibu/Song/Kapit, malah turut memberikan kesan kepada pendapatan tukang punggah barang.
Salah seorang juragan bot ekspres Sibu/Song/Kapit, Stephen Dana,58, memberitahu, keadaan di situ amat berbeza sebelum ini dengan ratusan penumpang, malah mencecah ribuan penumpang ketika musim perayaan terutamanya Gawai Dayak.
“Semasa perayaan Gawai Dayak setiap sudut di TPS ini dipenuhi penumpang. Namun sejak Jalan Sibu/Kanowit/Song/Kapit dibuka, keadaannya menjadi hambar dengan jumlah penumpang yang sangat sedikit,” jelasnya.
Menurutnya, jumlah penumpang kini jauh berkurangan dianggarkan sebanyak 70 sehingga 80 peratus, berbanding sebelum ini.
“Kini kadang-kadang jumlah penumpang hanya seramai 30 orang untuk satu perjalanan, berbanding dulu seramai 115 orang penumpang.
“Begitu juga dengan muatan barang yang jauh berkurangan, kerana barang kini dihantar ke kawasan tersebut dengan menggunakan lori. Ia menyebabkan bot ekspress tidak membawa banyak muatan barang seperti dahulu.
“Kalau dulu, untuk perkhidmatan membawa barang taukey memberi RM700 hingga RM1,000. Kini satu perjalanan untuk mendapatkan RM100 pun susah,” jelasnya.
Katanya, dari sudut kemudahan infrastruktur, Jalan Sibu/Kanowit/Song/Kapit memberikan manfaat kepada rakyat.
“Bagaimanapun, dari sudut pengusaha bot ekspress ia memberikan kesan kepada perniagaan mereka sekali gus turut memberikan kesan kepada gaji pekerja,” ujarnya.
Beliau berharap Kerajaan Sarawak mendengar rintihan dan permasalahan yang dialami oleh para pengusaha dan pekerja bot ekspress termasuk tukang punggah barang.
“Kami berharap Kerajaan Sarawak mencari jalan dan tindakan yang sewajarnya untuk membantu kami,” ujarnya lagi.
Oleh Akun Giman