
SIBU: Kelab Lions Sibu Pahlawan telah mengadakan majlis serah terima tugas presiden baharu dengan penyerahan tukul dan loceng presiden.
James Wong Ha Seng secara rasmi menyerahkan tukul dan loceng sebagai simbolik kepimpinan dan autoriti dalam mengendalikan mesyuarat kepada presiden baharu, Boston Ho bagi penggal 2026–2027.
Majlis serah terima tugas itu menandakan bermulanya secara rasmi satu lembaran baharu bagi kelab tersebut, dengan Ahli Lembaga Pengarah baharu kini memikul tanggungjawab untuk menerajui kelab serta memperkukuh misi khidmat masyarakat.
Wong merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli lembaga dan ahli kelab atas sokongan, kerjasama dan kepercayaan sepanjang tempoh beliau memegang jawatan.
Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada barisan kepimpinan baharu dan berharap mereka akan terus mengangkat motto Lions Antarabangsa, Kami Berkhidmat, dengan menganjurkan lebih banyak program khidmat masyarakat dan inisiatif kebajikan yang bermakna.
Presiden baharu, Boston Ho berkata, beliau akan bekerjasama rapat dengan Ahli Lembaga Pengarah yang baharu dilantik bagi meneruskan tradisi cemerlang Kelab Lions Sibu Pahlawan.
Ho berikrar untuk memperkukuh perpaduan dalam kalangan ahli, memupuk semangat kerja berpasukan, memperluaskan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik dan memberi impak lebih positif kepada masyarakat.
Ahli-ahli Kelab Lions Sibu Pahlawan turut menegaskan komitmen mereka untuk terus memberikan sokongan padu kepada presiden baharu dan barisan kepimpinan.
Oleh Akun Giman