Borneo Interwoven 2026 perkasa industri tenunan Sarawak ke peringkat antarabangsa

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas semasa menghadiri Program Borneo Interwoven Jalinan Mesra 2026 di Rumah Panjang Mendit Unsu, Penom, Ulu Paku, hari ini. Foto: Dato Dr Richard Rapu

SPAOH: Program Borneo Interwoven Jalinan Mesra 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh industri tekstil tradisional, pewarna semula jadi dan warisan budaya Sarawak apabila menghimpunkan penggiat, penyelidik serta pakar tekstil dari pelbagai negara bagi memperluaskan kerjasama di peringkat antarabangsa.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata penganjuran program di Rumah Panjang Mendit Unsu, Penom, Ulu Paku itu mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kali rumah panjang berkenaan menerima kehadiran peserta dari Perancis, New Zealand, Ireland, Singapura dan Indonesia.

Beliau berkata penyertaan antarabangsa itu membuka ruang kepada masyarakat tempatan untuk bertukar ilmu, pengalaman serta membina rangkaian kerjasama yang mampu meningkatkan kualiti dan nilai komersial industri tenunan tradisional Sarawak.

Menurutnya, antara manfaat terbesar program tersebut ialah perkongsian pengetahuan mengenai penggunaan sumber semula jadi dari hutan sebagai bahan menghasilkan pewarna tekstil berkualiti tinggi, termasuk tumbuhan, tanah dan pelbagai bahan semula jadi lain yang mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan.

“Pengetahuan seperti ini amat berharga dan perlu didokumentasikan supaya dapat diwariskan kepada generasi muda serta dimanfaatkan untuk membangunkan industri pewarna semula jadi tempatan,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan program itu, hari ini.

Uggah berkata Sarawak mempunyai kelebihan untuk muncul sebagai pengeluar pewarna semula jadi bertaraf dunia sekiranya sumber hutan dimanfaatkan secara lestari dengan sokongan penyelidikan, inovasi dan kerjasama strategik bersama rakan antarabangsa.

Pada masa sama, beliau mengakui industri tenunan tradisional masih berdepan beberapa cabaran termasuk bekalan bahan mentah yang terhad, tempoh penghasilan yang panjang serta kekangan ekonomi skala yang menjejaskan produktiviti pengusaha.

“Kerjasama dengan negara luar amat diperlukan bagi memperkenalkan teknologi dan mekanisasi yang bersesuaian tanpa menjejaskan nilai warisan, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran dan daya saing produk tempatan,” katanya.

Beliau turut berharap peserta antarabangsa yang hadir dapat menjadi duta kepada produk-produk Sarawak dengan mempromosikan hasil tenunan, pewarna semula jadi dan kraftangan tempatan ke pasaran global.

Mengulas mengenai pembangunan negeri, Uggah berkata usaha memperkasakan industri kreatif dan warisan budaya adalah selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menitikberatkan pembangunan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata kerajaan negeri turut memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan khususnya golongan wanita melalui latihan kemahiran, pemindahan teknologi serta pembangunan keusahawanan bagi membolehkan mereka menjana pendapatan yang lebih tinggi.

“Kawasan Bukit Saban mempunyai potensi besar dalam pengeluaran tekstil tradisional termasuk pakaian berasaskan tenunan yang kini semakin mendapat perhatian pasaran luar negara seperti Singapura,” jelasnya.

Tambah beliau, walaupun Sarawak telah mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi, usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan manfaat pembangunan itu turut dinikmati rakyat menerusi peluang ekonomi berasaskan budaya dan warisan.

Dalam pada itu, Uggah berkata pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan serta pembinaan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling Spaoh dijangka meningkatkan akses ke pasaran luar, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pengusaha tempatan memasarkan produk mereka.

Beliau turut memaklumkan Rumah Panjang Mendit Unsu yang dibina pada tahun 1926 bakal menyambut ulang tahun ke-100 tidak lama lagi, sekali gus menjadikan penganjuran Borneo Interwoven Jalinan Mesra 2026 sebagai detik bersejarah dalam usaha memperkukuh pemeliharaan warisan tekstil dan budaya masyarakat Dayak untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri; Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu dan Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas.

Oleh Adi Safarman