Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Sukan Borneo 2025 kembali ke Sarawak selepas 12 tahun
  • SUKAN

Sukan Borneo 2025 kembali ke Sarawak selepas 12 tahun

Utusan Sarawak 12 hours ago
JANJIKAN TERBAIK…. Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama yang lain menunjukkan poster Sukan Borneo 2025 selepas sidang media Borneo Games di Bangunan Baitulmakmur II, hari ini.

PETRA JAYA: Sarawak bakal menjadi tuan rumah Sukan Borneo 2025 dari 24 hingga 28 September ini, sekali gus menghidupkan semula temasya berprestij itu selepas kali terakhir dianjurkan pada 2013 di Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, penganjuran semula kejohanan ini adalah iltizam kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan sukan dan mempererat hubungan serantau. 

Aspirasi tersebut turut disuarakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis makan malam SUKMA XXI Sarawak 2024.

“Sukan Borneo bukan sekadar satu kejohanan sukan. Ia adalah pentas perpaduan, perkongsian warisan dan pengukuhan hubungan rentas wilayah Borneo. 

“Sarawak amat berbangga kerana diberi kepercayaan menjadi tuan rumah kepada kebangkitan semula temasya ini,” katanya pada sidang media Sukan Borneo di Bangunan Baitulmakmur II, hari ini.

Katanya, kejohanan itu bakal melibatkan enam kontinjen iaitu Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Negara Brunei Darussalam, Kalimantan Timur dan Kalimantan Barat. 

Tambah beliau, sebanyak lapan jenis sukan akan dipertandingkan, meliputi lima sukan teras iaitu badminton, boling padang, olahraga, memanah dan renang; dua sukan tradisional iaitu tarik tali dan menyumpit; serta satu sukan VIP iaitu golf.

“Sebanyak 124 pingat emas bakal dipertandingkan, tertakluk kepada sekurang-kurangnya empat penyertaan bagi setiap acara yang perlu didaftarkan selewat-lewatnya pada 29 Ogos 2025,” katanya.

Katanya, kejohanan ini bersifat terbuka tanpa had umur, namun penyertaan atlet yang pernah bertanding di peringkat Olimpik adalah tidak dibenarkan bagi memberi ruang kepada atlet pembangunan.

“Langkah ini memberi peluang kepada atlet muda dan lepasan SUKMA untuk terus bersaing secara kompetitif di peringkat serantau. Ia juga memberi makna besar kepada pembangunan bakat sukan akar umbi,” ujar beliau

Sukan Borneo 2025 dijangka menghimpunkan sekitar 5,000 peserta termasuk atlet, jurulatih, pengurus pasukan, pegawai teknikal, sukarelawan, media dan agensi berkaitan.

Majlis penutupan rasmi akan berlangsung pada 28 September dan dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak.

Beliau turut menyifatkan penganjuran itu sebagai cerminan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk menjadikan Sarawak sebagai hab sukan serantau yang dinamik dan inklusif.

Oleh Amanda L

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: MBK bukti kemampuan di Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSS Sarawak 2025
Next: Terus kekalkan momentum, buru gelaran dunia – Rexy

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.