APABILA James Brooke mendirikan kerajaan di Sarawak, beliau mempunyai dasar untuk mengelakkan kebanjiran syarikar barat melabur di Sarawak. Ini kerana beliau tidak mahu menganggu kehidupan masyarakat tradisional di Sarawak khususnya dalam kalangan masyarakat Dayak.
James Brooke dan pengantinya mengamalkan dasar ini sebagai amanah mereka untuk melindungi kepentingan masyarakat Sarawak. Ini kerana pemerintah Brooke tidak mahu syarikat barat mengeksplotasi penduduk tempatan.
PENOLAKAN
Dasar Raja James Brooke ini menyebabkan beliau pernah menolak Eastern Archipelago Company untuk menjalankan pelaburan di Sarawak. Punca penolakkan Raja James Brooke untuk memberi kebenaran kepada syarikat tersebut melabur di Sarawak kerana hubungan kurang baik beliau dengan Henry Wise.
Namun demikian kawan lama Raja James Brooke iaitu John Templer menasihat beliau bahawa Sarawak hanya dapat dibangunkan dengan membawa masuk syarikat yang mempunyai modal yang memadai. Saranan daripada kawan lama beliau ini menyebabkan Raja James Brooke bersetuju untuk membenarkan pelaburan asing di Sarawak.
PENUBUHAN
Dalam hal ini John Templer memain peranan penting dalam membawa masuk syarikat asing ini ke Sarawak. Beliau telah bertemu dengan Robert Henderson dari Messrs R. and J. Henderson untuk mengumpul modal secukupnya bagi memulakan penubuhan syarikat. Usaha ini membawa kepada penubuhan Borneo Company Limited.
Borneo Company Limited ini akan bertindak dalam mengeksplotasi monopoli pegangan kerajaan Brooke seperti arang batu dan antimoni, menjalankan perdagangan sagu dan getah percha. Syarikat ini juga menjadi bank untuk orang ramai menyimpan wang. Syarikat ini juga terlibat membantu dari segi kewangan bagi skim-skim komersial kerajaan.
Syarikat ini secara rasmi didaftarkan pada Mei 1856. Robert Henderson menjadi pengerusinya, manakala John Templer sebagai ahli Lembaga. Pengarah urusannya pula seorang berbangsa Denmak iaitu Ludvig Verner Helms. Ludvig Verner Helms merupakan orang Barat yang telah berada di Sarawak sejak 1851 dan terlibat dalam perlombongan antimoni.
PEMODENAN
Syarikat ini pada awalnya telah membeli kapal wap yang diberi nama James Brooke. Kapal ini diguna untuk mengangkut barang dagangan dan penumpang dari Sarawak ke Singapura. Kapal ini juga menjadi kapal pengangkut barang dari Singapura ke Siam (Thailand).
Pada 22 Januari 1861, syarikat ini juga memperkenalkan mesin wap di Sarawak bagi tujuan pemperosesan hasil-hasil dari Sarawak terutama sagu. Mesin wap ini dianggarkan akan dapat memproses sagu dalam 10 tan tepung sagu sehari.
Pengambilan wilayah Rajang oleh Kerajaan Brooke membawa pembinaan kilang sagu oleh Borneo Company Limited. Kilang ini dibina di muara Sungai Oya. Dalam hal ini perancangan telah dibuat untuk menggunakan kapal wap seberat 150 tan untuk membawa hasil sagu terus ke England melalui Terusan Suez.
Pengenalan mesin wap ini juga membawa kepada perancangan syarikat ini untuk pengumpul ubi kayu yang banyak ditanam oleh penduduk tempatan. Ada juga jangkaan syarikat ini untuk menanam tebu kerana mesin diperkenalkan ini mampu memproses gula.
Selain mengerjakan lombong antimoni, Borneo Company Limited juga menjalankan usaha mengali dan mengeluarkan sinabar bagi penghasilan raksa. Sinabar ini dikenal pasti mempunyai potensi pada 1867, dan dikesan di selatan Bau iaitu Tegora dan Gading.
Penglibatan aktif syarikat ini dalam perlombongan emas bermula pada 1880-an. Syarikat ini telah melakukan kerja-kerja pengalian secara skala besar di Bau dan Paku. Pada 1882, syarikat ini telah mendirikan kilang untuk memecah dan mencanai bijih.
Walaupun syarikat ini telah melakukan pelbagai aktiviti ekonomi tetapi prestasinya tidaklah begitu baik.
Mereka mengalami kerugian apabila membuka lombong arang batu di Sadong. Kegagalan ini disebabkan ketiadaan seorang jurutera lombong yang terlatih. Syarikat ini hanya mampu meraih keuntungan selepas 1898. Sebelum ini Borneo Company Limited bergantung kepada aktiviti mereka di Tanah Melayu dan Jawa serta Siam. Di Siam, syarikat ini melibat diri dalam pelbagai sektor seperti pengimportan, eksport, pembalakan dan insurans serta mengilang padi.
CABARAN
Tidak sampai setahun Borneo Company Limited beroperasi, mereka dikejutkan dengan pemberontakan orang Cina pada 1857. Serangan pelombong Cina dari Bau pada awal tahun tersebut menyebabkan kerugian bukan setakat kerajaan Brooke tetapi juga Borneo Company Limited.
Sebanyak kira-kira $10,000 dari syarikat tersebut telah dilarikan. Syarikat ini juga membantu kerajaan Brooke memulih semula Kuching selepas pemberontakan ini dengan memberi pinjaman sebanyak £5,000, manakala aktiviti di utara Borneo (Sabah) pada pertengahan 1860-an memberi kesan kepada Borneo Company Limited.
Ini kerana ada usaha pihak persendirian dan syarikat asing ingin mengambil wilayah utara Borneo daripada Sultan Brunei. Borneo Company Limited cuba menghalang perkara ini berlaku apabila Alfred Dent dan Gustav Baron Von Overbeck yang berhajat menubuh North Borneo Company Limited bagi mentadbir utara Borneo.
Borneo Company Limited melihat tindak tanduk Dent dan Overbeck ini akan menjejaskan monopoli mereka di Borneo. Untuk menghalang tindakan Dent dan Overbeck ini, Borneo Company Limited sanggup memberi pinjaman kepada kerajaan Brooke sebanyak £20,000 bagi memujuk Sultan Brunei untuk membatalkan konsesi Dent-Overbeck. Sebaliknya Raja Charles Brooke ketika itu memikirkan hal ini tidak akan mendapat sokongan dari kerajaan British.
KEBAKARAN
Salah satu lagi peristiwa pahit yang menyelubungi sejarah syarikat ini adalah berlakunya kebakaran pada gudang milik syarikat tersebut. Kebakaran yang berlaku pada sekitar 11.00 malam 16 Mac 1882 itu telah dapat dikawal oleh pihak polis dari merebak ke tempat lain.
Gudang tersebut yang pada asalnya pejabat telah dijadikan tempat menyimpan barang dagangan. Ketika kebakaran sebanyak kira-kira 100,000 rotan di dalam gudang tersebut. Walaupun menempuh pelbagai cabaran, Borneo Company Limited tetap meneruskan usaha mereka menjana pendapatan Sarawak dan syarikat tersebut. Operasi syarikat ini terhenti seketika semasa Jepun menakluk Sarawak. Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, syarikat ini meneruskan operasi mereka di Sarawak.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).