
PADA 12 Februari lepas, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan pengambilalihan MASwings oleh kerajaan Sarawak.
Syarikat penerbangan itu dijenamakan sebagai AirBorneo. Pengambilalihan MASwings ini satu peristiwa bersejarah dalam perkembangan semasa di Sarawak.
AirBorneo ini nanti akan mengembangkan operasinya menjangkau sehingga ke luar negara. Harapan besar dalam pengambilalihan MASwings ini bukan setakat membawapenumpang tetapi akan membawa kepada pembangunan ekonomi Sarawak.
Bercakap tentang hal ini, sejarah membuktikan bahawa perkembangan pengangkutan udara Sarawak telah dapat memacu pembangunan ekonomi. Usaha memperkemaskan aktiviti pengangkutan udara telah bermula sejak zaman Brooke lagi. Perkembangan ini berterusan sehingga kepada era penjajahan British di Sarawak.
PERANCANGAN
Secara umumnya perkembangan pengangkutan udara Sarawak termasuk Brunei dan Sabah banyak bergantung kepada Malayan Airways yang membawa penumpang dan barang sama ada peringkat domestik mahupun luar Borneo.
Pada lewat 1950-an, kerajaan Sarawak, Sabah dan Brunei mula membincangkan untuk menubuh syarikat penerbangan mereka sendiri. Kerajaan British di Sarawak ketika itu bersetuju menyumbangkan sebanyak $100,000 untuk membiayai kerjasama penubuhan syarikat penerbangan tersebut.
Syarikat penerbangan yang dicadangkan untuk ditubuhkan itu dinamakan sebagai Borneo Airways.
Penubuhan syarikat penerbangan baharu itu dikendalikan oleh British Overseas Airways Corporation (BOAC) dan Malayan Airways.
Perkara ini diumumkan oleh pemangku Setiausaha Sarawak iaitu F. B. K. Drake dalam Council Negeri. Selama ini menurut Drake, perkhidmatan udara bagi Sarawak sama ada peringkat domestik atau antarabangsa ke Singapura dikendalikan oleh Malayan Airways.
Oleh itu, syarikat penerbangan baharu ini nanti akan bekerjasama dengan Malayan Airways untuk memperkemaskan perkhidmatan udara bagi Sarawak.
Drake menambah bahawa perancangan dibuat untuk membeli 51 peratus saham dari syarikat tersebut. Selebih saham ini dimiliki BOAC dan Malayan Airways.
Beliau juga berharap kerajaan Sarawak juga harus memiliki saham dalam syarikat tersebut untuk membolehkan mereka mempunyai suara dalam syarikat penerbangan baharu itu.
PENTADBIRAN
Dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Borneo Airways pada 1 Mac 1958 telah mengambil keputusan untuk mengambilalih aset dari Sabah Airways dan perkhidmatan Malayan Airways di Borneo.
Dari segi pegangan saham dalam syarikat penerbangan tersebut, ketiga-tiga kerajaan iaitu Sarawak, Sabah dan Brunei memegang 51 peratus saham. Selebihnya iaitu dimiliki oleh BOAC dan Malayan Airways.
Lembaga Pengarah Borneo Airways ini terdiri daripada seorang pengerusi dan enam orang ahli lembaga. Tiga ahli lembaganya terdiri daripada ahli dipilih oleh kerajaan di jajahan British Borneo, manakala tiga lagi ahli adalah dari BOAC.
Pengarah pertama bagi syarikat tersebut adalah L. C. Harding iaitu pengurus Chartered Bank, Kuching, manakala pusat operasinya di Labuan.
Kapten T. M. Robertson dilantik sebagai pegawai bertanggungjawab kepada pusat operasi tersebut. Beliau adalah bekas juruterbang kanan bagi perkhidmatan pengantara Malayan Airways di Borneo.
TEMPAT
Perkhidmatan udara yang digerakkan oleh Borneo Airways hanya beroperasi di peringkat domestik sahaja. Setakat 1958, perkhidmatan domestik yang digerakkan oleh Borneo Airways ini meliputi Sarawak, Sabah dan Brunei.
Di Sarawak, operasi syarikat ini adalah di Sibu, Bintulu dan Lutong. Bagi sektor luar Sarawak, perkhidmatan syarikat tersebut meliputi Anduki (Belait), bandar Brunei, Labuan, Jesselton (Kota Kinabalu), Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Ranau dan Keningau.
Tambahan daripada itu, usaha diperkasakan lagi untuk melebarluaskan perkhidmatan udara ini ke Lawas, Marudi, Simanggang, Kuching dan Samatan.
Tempat lain yang menjadi tumpuan untuk perkhidmatan penerbangan ini adalah di Long Akah, Long Atip, Bario dan Ba’ kelalan.
Usaha untuk memperluaskan jaringan perkhidmatan ini bergantung kepada perlunya membina landasan terbang di kawasan baharu.
Pada 1958 satu penerbangan percubaan telah dibuat antara Sibu ke Simanggang. Pesawat yang digunakan oleh Borneo Airways adalah pesawat ringan iaitu De Havilland DH.89 Dragon Rapide dan Twin Pioneer Aircraft.
PERSENDIRIAN
Operasi perkhidmatan penerbangan di Sarawak bukan sahaja dikendalikan oleh Malayan Airways dan Borneo Airways tetapi beberapa pihak persendirian juga mengembangkan perkhidmatan mereka di Sarawak.
Namun demikian, matlamat mereka lebih kepada kepentingan organisasi tersebut.
Syarikat minyak Sarawak iaitu Sarawak Oilfields Limited yang berpusat di Miri banyak menggunakan perkhidmatan penerbangan dari syarikat induk mereka iaitu Brunei Shell Petroleum Company di Seria.
Pesawat yang digunakan oleh syarikat ini adalah tiga pesawat Percival Prince dan tiga pesawat Sealand. Syarikat Bahamas Helikopter Limited pula menyediakan perkhidmatan sewa helikopter kepada syarikat minyak ini.
Syarikat minyak ini menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara untuk tujuan pengangkutan, membawa bekalan dan tinjauan udara.
Tambahan daripada itu, syarikat ini juga mengangkut pekerja pengerudi dan alatan pengerudian ke kawasan pengerudian dan landasan marin mereka.
Selain syarikat, badan-badan bukan kerajaan seperti golongan mubaligh Kristian juga mempunyai perkhidmatan udara. Dalam hal ini Borneo Evangelical Mission yang berpusat di Lawas memain peranan penting dalam menghubungi kegiatan mubaligh di kawasan pedalaman. Badan agama ini menggunakan dua pesawat Auster untuk mengangkut kakitangan mereka.
SOSIAL
Mereka juga mengangkut bekalan dan ubat-ubatan untuk operasi mereka di kawasan pedalaman. Kakitangan badan agama ini juga berperanan dalam melakukan penerbangan dan penyelengaraan untuk pesawat ini. Perbincangan ini menunjukkan perkembangan perkhidmatan udara di Sarawak ini telah dirancang sejak sebelum merdeka lagi.
Ini kerana keperluan Sarawak dalam melancarkan keperluan sosial dan ekonominya membawa perancangan berterusan untuk memajukan perkhidmatan pengangkutan udaranya.
Kewujudan AirBorneo pada sekarang diharap dapat memacu kepentingan sosial dan ekonomi Sarawak. Ini sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi wilayah maju dalam pelbagai aspek.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).