BONNIE Bunyau Gustin mendapat penghargaan daripada Malaysian Book Of Record (MBOR) sebagai atlet pertama memenangi pingat emas pada Temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2021 sekali gus berjaya memecah rekod atlet paralimpik.
Menurut jurulatihnya Jamil Adam, rakan sepasukan iaitu Jong Yee Khie pula mampu memberikan saingan kental kepada pemenang pingat emas kepada atlet dari Mongolia baru-baru ini
“Allahamdulilah, atlet lain termasuk renang dan memanah telah mampu memberikan saingan pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 baru-baru ini.
“Kita merakam jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia terutamanya penyokong Sarawak. Bonnie adalah jaguh ‘Badang Kenyalang’ yang pertama membawa pingat emas untuk negara dan membuktikan kita memecah tradisi acara ‘powerlifting’ dalam sejarah penyertaan Malaysia,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan ‘Selamat Kembali Ke Bumi Kenyalang Atlet Paralimpik Tokyo 2020’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), semalam.
“Bayangkan, kira-kira dua tahun tidak balik tetapi kerana semangat juang yang tinggi kami akhirnya berupaya menaikkan nama Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Bonnie,22, yang berjaya merangkul pingat emas dalam termasya tersebut mengucapkan terima kasih kepada semua terutamanya kepada ibu bapa yang telah banyak membantu untuk terus berjaya dalam bidang sukan.
“Di Tokyo saya mampu meraih pingat emas di sana dan dan berjaya memecahkan record powerlifting kerana doa daripada kedua orang tua selain seluruh rakyat Malaysia,” tambahnya.
Oleh AKUN GIMAN