
KUCHING: Jaguh para powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin, 26, mengumumkan perkahwinannya dengan gadis pilihannya dalam satu hantaran di Instagram, semalam.
Atlet kelahiran Sarawak itu, yang juga juara dunia empat kali dan pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020, berkongsi berita gembira tersebut menerusi akaun Instagram miliknya, @bonnie_bb9.
“Tuhan bukan sahaja mengurniakan aku seseorang untuk dikasihi – tetapi juga seseorang untuk membesar bersama, berdoa bersama dan berjalan seiring,” tulis Bonnie dalam kapsyen hantarannya yang turut disertakan dengan beberapa gambar perkahwinan.
Berita itu turut mendapat perhatian dan reaksi positif daripada peminat serta rakan-rakan atlet, yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah dan doa kebahagiaan buat pasangan tersebut.
Antara yang turut mengucapkan tahniah ialah legenda skuasy negara, Datuk Nicol David, yang menulis di akaun @nicoldsquash: “Tahniah kepada anda berdua!”
Atlet terjun negara, Dato Pandelela Rinong, juga meninggalkan komen ringkas: “Tahniah Bonnie.”
Pelakon, penyanyi, model dan bekas ratu cantik Malaysia, Dewi Liana Seriestha, turut mengucapkan: “Tahniah Bonnie.”
Jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, juga tidak ketinggalan memberikan ucapan tahniah.
Hantaran itu turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang turut meninggalkan komen di ruangan tersebut.
Bonnie, yang merupakan anak kepada bekas atlet powerlifting, Gustin Jenang, sebelum ini mencipta sejarah apabila memecahkan rekod dunia dalam kategori 72kg lelaki di Kejohanan Dunia Para Powerlifting.
Perkahwinan ini menandakan satu lagi fasa baharu dalam kehidupan peribadinya, selepas mencatat pelbagai kejayaan membanggakan di pentas sukan antarabangsa.