FAIZAL BUJANG
BINTANG pertahanan muda kelahiran Kampung Rayang, Serian yang kini bermain untuk pasukan Selangor, Rodney Calvin Akwensivie, 24 berharap musibah penularan virus Covid-19 yang melanda negara ketika ini akan berakhir sepenuhnya.
Ia sekali gus, bukan sahaja dapat memberi peluang untuk dirinya menjalani rutin seperti biasa bersama rakan sepasukan malah dapat menyambut perayaan Gawai Dayak tahun ini dengan ahli keluarga tersayang.
“Sememangnya saya berharap musibah ini akan dapat pulih sepenuhnya dan membuka peluang untuk menjalani latihan seperti biasa.
“Apa pun, yang lebih pentingnya dapat memberi peluang kepada saya untuk meraikan sambutan perayaan Gawai Dayak bersama-sama ahli keluarga tersayang,” ujar Rodney atau lebih mesra dengan panggilan ‘Bonai’.
Bonai yang kini sudahpun berada di kampung halaman sejak sebulan lalu tidak membuang masa begitu sahaja.
Sebaliknya, beliau tetap berlatih secara sendirian di rumah dengan jadual yang telah disediakan oleh ketua jurulatih, B. Sathianathan.
“Latihan dilakukan di rumah setiap hari dengan jadual yang telah disediakan. Ia adalah untuk mengekalkan tahap kecergasan diri,” tambahnya lagi.
Beliau turut mengakui setiap sesi latihan yang dijalankan turut dipantau menerusi video secara dalam talian.