
SIBU: Suri rumah berputih mata selepas diperdaya oleh bomoh ‘temberang’ kononnya boleh membuang sial yang boleh mendatangkan kecelakaan kepada ahli keluarga mangsa.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa berumur dalam lingkungan 70an mengalami kerugian RM60,794.
Menurutnya, mangsa telah didatangi oleh seorang wanita tidak dikenali di kawasan pasar Sibu, semalam.
“Berdasarkan loghat percakapan, wanita tersebut disyaki warga China bertanya tentang lokasi kedai ubat tradisional cina, kemudian seorang lagi wanita dengan loghat yang sama turut bertanya lokasi tempat sembahyang buang sial.
“Mangsa kemudiannya dibawa berjalan kaki ke parkir kereta berhampiran, sebelum dimasukkan ke dalam sebuah kenderaan bersama tiga wanita warga asing tersebut.
“Mangsa telah dimaklumkan bahawa dirinya mempunyai ‘sial’ yang boleh mendatangkan kecelakaan kepada ahli keluarga jika tidak dibuang melalui upacara sembahyang khas,” katanya menerusi siaran media.
Katanya, mangsa yang ketakutan telah mengikuti arahan suspek dan menyerahkan wang tunai dan barang kemas sebagai syarat ritual dengan keseluruhan berjumlah RM60,794.
“Selepas upacara ritual palsu itu, mangsa diberikan satu bungkusan plastik hitam dengan arahan supaya hanya membukanya selepas seminggu.
“Namun, sebaik anak mangsa membuka bungkusan tersebut, hanya terdapat mi segera, satu kilogram garam dan empat botol air mineral.
“Mangsa kemudian menyedari telah ditipu oleh tiga suspek wanita berkenaan lalu hadir ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan. Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Oleh Akun Giman