SARIKEI: Tindakan pantas anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei berjaya menangkap seekor ular yang memasuki dapur sebuah rumah di Jalan Chengal, semalam.
Ketua BBP Sarikei, Vincent Baling berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.44 pagi.
“Respons dengan panggilan kecemasan, sepasukan bomba digerakkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada 10.47 pagi, didapati terdapat seekor ular di dapur rumah pengadu seperti yang dilaporkan,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, komander operasi terlebih dahulu menjalankan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota bomba yang lengkap memakai peralatan pelindung diri (PPE) melaksanakan operasi menangkap reptilia tersebut.
“Ular berjaya ditangkap menggunakan alat pengepit ular dan telah dilepaskan ke habitat asal.
“Penggunaan peralatan khas membolehkan operasi dijalankan dengan selamat tanpa mendatangkan risiko kepada penghuni rumah mahupun anggota bomba,” katanya.
Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 10.52 pagi.
Oleh Earl Anek




