

TERPERANGKAP…Keadaan seekor kucing yang terperangkap di atas siling rumah di Kampung Pengkalan Lutong, hari ini. Foto BBP Lutong.
MIRI: Seorang pemilik kucing terpaksa meminta bantuan bomba selepas haiwan peliharaan miliknya terperangkap di atas siling rumah di Kampung Pengkalan Lutong di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lutong, Henry Jugah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.24 pagi.
Katanya, sepasukan bomba yang diketuai oleh PBK II Awang Arizal bersama empat anggota digerakkan ke lokasi yang terletak pada jarak lapan kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, didapati kucing tersebut masih berada di atas siling dan tidak dapat turun sendiri.
“Pasukan bomba bertindak menggunakan peralatan khas bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat secara berhati-hati,” katanya di sini.
Operasi itu tamat pada 12.00 tengah hari.
Oleh Liong Chai Ling