BELADIN: Pasukan bomba mengesahkan tiada lagi tanda kebocoran gas atau pancutan wap dikesan di lokasi kerja penyiasatan tanah bagi Projek Pembinaan Dewan Serbaguna di Sekolah Kebangsaan (SK) Beladin, Kampung Hilir Beladin, Jalan Maludam di sini, hari ini.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.30 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok digerakkan ke lokasi.
Jentera bomba yang menempuh perjalanan sejauh 62 kilometer tiba di lokasi pada 10.32 pagi. Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Fis-hak Illah-hi bersama enam anggota menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).
Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati tiada lagi sebarang petanda gas atau pancutan wap keluar dari tanah seperti yang dilaporkan sebelum itu.

Bagaimanapun, pasukan bomba terus menjalankan pemantauan di kawasan berkenaan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat serta tidak mendatangkan risiko kepada pekerja dan orang awam.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Komander Operasi mengarahkan dua anggota yang memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) lengkap memasang tali sawar di sekitar kawasan kejadian bagi menghalang orang ramai daripada menghampiri lokasi.
Menurut Komander Operasi, ketika kejadian kontraktor sedang menjalankan kerja-kerja penyiasatan tanah menerusi penggerudian lubang telaga (SI Borehole) bagi projek pembinaan Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung di sekolah berkenaan.
Siasatan awal mendapati pengadu menghubungi BBP Saratok selepas kontraktor di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Betong mengesan gas yang tidak dapat dikenal pasti keluar daripada lubang gerudi sekitar 9.00 pagi.
Susulan penemuan itu, semua kerja dihentikan serta-merta sebelum pihak JKR turut dimaklumkan kejadian kepada JKR Betong dan membuat laporan polis sebagai langkah keselamatan.
Operasi bomba ditamatkan 11.10 pagi selepas keadaan disahkan terkawal dan tiada mangsa dilaporkan.




