
MIRI: Pasukan bomba berdepan cabaran luar biasa apabila terpaksa meredah titi kayu sepanjang 500 meter sambil membawa peralatan untuk memadam kebakaran melibatkan dua rumah di Jalan Pujut 3, Kampung Nelayan, di sini, hari ini.
Kejadian yang berlaku sekitar 11.55 pagi itu menyebabkan enam penghuni hilang tempat tinggal selepas sebuah rumah musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi hanya mengalami kerosakan kecil.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng bersama bantuan BBP Miri digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan dua buah rumah. Sebuah rumah tradisional jenis tidak kekal terbakar 100 peratus, manakala sebuah rumah dua tingkat terbakar kira-kira dua peratus di bahagian dapur,” katanya dalam kenyataan, petang tadi.
Tambahnya, kekangan utama operasi adalah ketiadaan akses terus ke lokasi menyebabkan anggota perlu berjalan kaki sejauh 500 meter melalui titi kayu sambil memikul peralatan pemadaman.
Operasi memadam bara api dijalankan menggunakan sumber air dari pili bomba rumah berhampiran serta air sungai.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 12.20 tengah hari dan operasi ditamatkan pada 1.54 petang. Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling