SARIKEI: Seramai 89 warga Tadika Methodist Nyelong Park menyertai latihan pengungsian bangunan, ceramah serta demonstrasi keselamatan kebakaran yang dikendalikan pihak bomba sebagai usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi kecemasan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, program yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 11.40 pagi itu dikendalikan oleh tiga anggota bomba dengan memberi penekanan terhadap tindakan awal menyelamatkan diri sekiranya berlaku kebakaran.

“Seramai 82 murid serta tujuh guru dan kakitangan menyertai program ini.
“Program ini bertujuan memastikan murid, guru dan kakitangan sekolah mendapat pendedahan mengenai tatacara pengungsian bangunan, kaedah menyelamatkan diri sekiranya terperangkap, penggunaan alat pemadam api serta pengetahuan asas berkaitan bahaya kebakaran,” katanya ketika dihubungi semalam.
Katanya, peserta turut diberi tunjuk ajar mengenai teknik “berhenti, rebah dan guling” serta kaedah merangkak ketika terperangkap di dalam bangunan yang dipenuhi asap.

“Pendidikan keselamatan kebakaran perlu diterapkan sejak peringkat awal agar kanak-kanak lebih bersedia, berdisiplin dan tidak panik sekiranya berlaku insiden tidak diingini.
“Latihan pengungsian bangunan secara berkala juga membantu meningkatkan tahap kesiapsiagaan pihak sekolah selain memastikan prosedur kecemasan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan,” katanya.
Oleh Earl Anek





