

MENGECAT PILI BOMBA….Anggota bomba bertugas mengecat pili bomba di Taman Alomera, hari ini. Foto BBP Bintangor
BINTANGOR: Sebanyak tujuh unit pili bomba di Taman Alomera telah diperiksa oleh pihak bomba, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata pemeriksaan berkala tersebut merupakan sebahagian daripada langkah kesiapsiagaan pihaknya dalam memastikan setiap pili bomba di kawasan jagaan berada dalam keadaan baik serta boleh digunakan pada bila-bila masa.
“Pili bomba merupakan komponen penting semasa operasi pemadaman kebakaran.
“Jika berlaku kecemasan, sumber air segera perlu diperoleh dan sebab itu pemeriksaan berkala seperti ini amat penting,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, pemeriksaan bermula 9.30 pagi turut melibatkan kerja-kerja mengecat semula pili bomba agar lebih jelas kelihatan dan mudah dikenal pasti oleh pihak bomba mahupun orang awam.
“Selain memastikan fungsi teknikalnya baik, pengecatan semula juga membantu meningkatkan tahap kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga fasiliti awam ini.
“Semua pili bomba di kawasan jagaan BBP Bintangor diperiksa secara berjadual dan akan dibaiki segera sekiranya didapati rosak,” katanya.
Mahmudin juga mengalu-alukan kerjasama masyarakat setempat untuk melaporkan kepada pihaknya sekiranya terdapat kerosakan atau sebarang halangan pada pili bomba di kawasan masing-masing.
“Kesedaran masyarakat untuk tidak meletakkan kenderaan atau menghalang kawasan pili bomba juga amat penting.
“Halangan kecil boleh menjejaskan usaha menyelamat nyawa dan harta benda,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek