
JULAU: Tanah runtuh di kawasan pembinaan Rumah Steven Jinggut, Nanga Serau hari ini mengundang pemantauan ketat susulan faktor risiko pergerakan tanah semula.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.27 pagi.
“Tiga anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mijan Pamin bergegas ke lokasi untuk operasi pemantauan dan penilaian keselamatan selepas menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, didapati berlaku tanah runtuh di bahagian belakang rumah panjang tersebut dengan anggaran kawasan terlibat seluas 50×80 meter,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, rumah panjang yang masih dalam pembinaan dan tiada penghuni ketika kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku.
“Penilaian turut dilakukan bersama agensi lain yang hadir bagi menilai tahap risiko keselamatan kawasan tersebut termasuk status tanah, struktur pembinaan dan potensi impak sekiranya berlaku hujan lebat berpanjangan.
“Setelah pemantauan dijalankan, lokasi berkenaan didapati berisiko dan berkemungkinan berlaku semula pergerakan tanah jika menerima hujan lebat berpanjangan.
“Kami telah memaklumkan situasi dan tahap risiko kepada Tuai Rumah Steven Jinggut serta menasihati agar langkah berjaga-jaga diambil selaras penilaian keselamatan semasa,” katanya.
Katanya, antara agensi lain yang turut berada di lokasi ialah dua orang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), seorang kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lima wakil dari pihak wakil rakyat.
“Pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa terutama sepanjang musim monsun timur laut (MTL) bagi memastikan keselamatan komuniti setempat sentiasa terjamin.
“Operasi pemantauan selesai sepenuhnya pada 11.50 pagi,” katanya.
Oleh Earl Anek