
PETRA JAYA: Paras air di Kampung Bintawa dan Kampung Gita dilaporkan telah surut setakat rondaan dilakukan malam ini.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pemantauan kawasan banjir itu dijalankan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya bermula 8.20 malam.

Komander Operasi, PBK II Hanum Bungang berkata, rondaan awal di Kampung Bintawa mendapati keadaan air telah surut dan tiada pemindahan penduduk dijalankan.
Pasukan Keluaran Operasi kemudian meneruskan pemantauan ke Kampung Gita dan hasil pemeriksaan turut mendapati paras air berada dalam keadaan terkawal serta tidak memerlukan pemindahan.

Pihak bomba akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terlibat.
Oleh Clarissa Ima